Pages

Saturday, 28 April 2012

Pesan Bonda buat Remaja

Remaja punya banyak tenaga
salurkan dengan berharga
vandalisme perkara biasa
jangan buat gila-gila
impaknya ke penjara.

Remaja citanya ke angkasa
semua terlarang jadi biasa
yang berpahala esok lusa
bila cedera jadi sengsara
kasihan tinggal kasihan
kebencian menjadi saudara.

Remaja tidak ingat dosa
pesanan ayahbonda disangga
gamitan rakan sangat mesra
bergaul tidak kira masa
bulan mengambang teman setia
si pungguk hairan terasa.

Remaja senang hilang dara
katanya itu dongeng indera arjuna
muda sekali rasai yang ada
perhitungan tidak pernah dikira.

Remaja teruna tinggal nama
merasa tidak terluka
tidak ada tanda
tidak ada lara
getun tidak pernah ada.

Ke pusara ada ruang taubatnya
tika remaja meniti tua
bersandar waktu dan masa.

Remaja untuk negara
bina istana cerita
bina istana jiwa
kerna jejak-jejakmu
titipan kaca
sampai waktu retak jua
derita kalbu kendungan malu
waktu itu sudah berlalu.
Bisakah kau putar waktu?

Ilham 19.3.2012 pabila tersiar berita 'remaja mati ditinggal rakan rempit, patah tangan kanan dan pecah kepala'. Namun masih ramai yang mencuba kerna remaja silih berganti. Selain itu, remaja yang tidak menggunakan keintelektualan, menjadi pengikut seperti 'babi buta' yang tidak kenal warna bahawa 'kuning itu adalah warna anugerah kerajaan China kepada Sultan Melaka tanda pengiktirafan bangsa dan negara berdaulat'. Jangan biarkan Allah turunkan bala kerana remaja nan lupa untuk menjaga maruah di dunia.

Kerbau Berlumpur

901 akan berhantu
lubuknya parkir kereta  itu
jika setuju
tambah 02 03 sabtu 284 duabelas
banyaknya gelombang dosa
semilir kota hari itu membawa cerita
'An-War' patung cendana
dipuja kerna kata dustanya
dipuji kerna tingkah nan keji
disanjung kerna sering berbohong.

'An-War'
tamatkan peperanganmu
sebagai ibu aku merayu
derhakamu hentikan di situ
jangan lagi lempar batu sembunyi tangan
betulkan lidah cabangmu
mawari hatimu dengan keinsafan
kerna keinsafan .
memberi ruang
memberi peluang
memberi jalan
untuk kau pulang.

Kemaluan keaiban hiasan kelalaian
ke pangkal jalan ibu pohonkan
jangan sampai liang memanggil pulang
kerna harimau pun tahu tinggalkan belang
jangan sampai kau ucap 
'Selamat Jalan'
kelak ruang-ruang pertembungan 
hanya hayalan berwarna
tika kau keseorangan
adakah ada yang bertandang?

Terkarya pada 8.1.2012 ketika sekumpulan 'kuning' menuntut sesuatu ... tertulis pada malam 28.4.12 kerna kumpulan yang sama ingin sekali lagi mencetuskan .... .... dalam negara. Aku amat kasihan melihatmu. Aku berdoa agar masih ada lagi kewarasan dalam benakmu. Telajak perahu boleh diundur terlajak kata buruk padahnya.

Bintang Hollywood Promosi Malaysia ( 20/4/12 BH )

"Flora dan fauna di Malaysia memang mengagumkan. Saya amat berbangga menjadi sebahagian daripada program ini buat kali kedua bersama NGC. Penonton di seluruh dunia akan dapat menyaksikan keindahan negara ini (Malaysia)".
                                                                                 Jason Scott Lee - Pelakon

( orang luar sangat mengagumi Malaysia tetapi sayang ada warga Malaysia yang sengaja mahu 'melelong' maruah negara dengan pelbagai cara ... sebagai duta kecil cubalah sedaya mungkin, angkat dan jagai nama baik negara. Jangan menepuk air di dulang terpercik ke muka sendiri )

Lagi Dua Langkah

"Terdapat prestasi turun naik, tetapi kami sudah meletakkan diri pada kedudukan yang hebat".
                                                                                Ashley Young, Penyerang United


( Visi dan misi SAMTTAR 2012 telah menepati sasaran seperti  kata-kata Ashley ... akan berterusan kah? )

Tangan Ghaib cuba halang Arif (20/4/12 BH)

"Sepatutnya saya disenaraikan beraksi di ABC dan Terbuka India, tetapi BAM beritahu mereka terlupa menghantar nama saya. Mahu tidak mahu saya terpaksa terima alasan itu''. Mohammad Arif Abdullah, pemain Badminton Remaja.


( peristiwa yang menimpa M.Arif sebenarnya berlaku kepada ramai orang di luar arena badminton ini...tidak tahu di mana silapnya atau sengaja dilakukan kesilapan itu. Aku pernah merasai situasi ini pada tahun 1999 dalam kerjayaku dalam bidang pendidikan )

Perceraian tidak patut musnahkan masa depan anak-anak - waris perkahwinan tidak boleh dizalimi (20/4/12 BH)

'Para ibu hendaklah menyusukan anaknya selama dua tahun penuh, iaitu bagi yang ingin menyempurnakan penyusuan dan kewajipan ayah memberi makan serta pakaian kepada para ibu dengan cara yang makruf. Seseorang tidak dibebani melainkan menurut kadar kesanggupannya. Janganlah seorang ibu menderita kesengsaraan kerana anaknya dan juga seorang ayah kerana anaknya dan waris pun berkewajipan demikian.'

( Surah al-Baqarah, ayat 232)

( Alangkah bahagianya mereka yang terpenuhkan tanggungjawab di atas...namun aku adalah mangsa ketidaksempurnaan itu dan juga waris yang dizalimi )

Monday, 23 April 2012

Pesan Bestari

Pesan Bestari ini sangat bererti dalam setiap saat kehidupan ini.

"Penulis tidak akan lahir secara mendadak, ada dasar di bawahnya, ada latar belakang di sebaliknya".
                                                                                        A. Samad Said
                                                                           Dalam 'Hati Muda Bulan Muda'


"Maha berkat (serta Maha Tinggilah Kelebihan) Tuhan yang menguasai pemerintahan (dunia dan akhirat) dan memanglah ia Maha Kuasa untuk tiap-tiap sesuatu".
                                                                                     
                                                                                           Surah al-Mulk,   ayat 1.

             Merujuk tajuk 'Kriteria bentuk pemimpin dihormati, bukan digeruni, BH 20.4.2012

Puisi Buat A. Samad Said SN

A Samad Said
biar kubantu jika kau sakit
biar kuampu agar kau bangkit
sakit jika tersepit
perit tak bisa menjerit.

A. Samad Said
mana hari gembiramu hari ini
kerna kau lupa bezakan
antara kembang dan layu
Rita Hamidah kau tinggalkan
Ambiga kau endahkan
kerna kau berikan
serangkai kata untuk adinda
yang mengandung mesranya malam pertama.

A. Samad Said
jika kau bisa mengadili
mana yang kau ungkap
masa lain rasa pun lain
pencuri yang tidak adil dihukum si Juita.

A Samad Said
kenangan yang jernih
jangan kau cuci bersih
kerna saputangan tanda kasih
kirimkan pada pembaca
yang dahagakan cahaya kasih mesra.

A. Samad Said
tanya bertanya pada Ambiga
Sayangkah dara padaku seorang
ketika ke daerah yang lebih kerdil
gelita kerna langit malam
tiada berbintang.

A. Samad Said
Aku menjulangmu 
dari sebuah bangunan tiga tingkat
dari tanah ke tanah
kuangkat semula
terintai kau dari tingkap sebuah bangunan
hingga seminggu
kawanku di Kelas Lima B
bersama kakaknya bersentil tembakau
menunggu di bawah pepohon Jejawi.

A. Samad Said
kau kerani besar
tintamu menyinari penantian 
malam hari raya kedua
sewaktu keretapi ke Kuala Lumpur
lahir seorang anak
perempuan dari Kampong Kambing
adalah pengalaman di sebuah rumah sakit.

A. Samad Said
di tepi jalan ini
banyak penyerahan ilmu
ada sayang di malam kelam
menanti pulang malam
malang...
Gelap malam itu
asap berkalung debar
bersimpul dalam sebuah bilik
siapa di dalamnya
sasterawan Daiman Kereko dan MP Gudu-gudu.

A. Samad Said
di tepi longkang ini
menjadi buruh paksa
kerna hati muda bulan muda
menunggu malam merangkak ke hujungnya
bersama Tamrin Gil dan Ahmad Zago.

A. Samad Said
saat terakhir
dosa pejuang tersungkur di sisi Rinda 
gelap di dakap harap.

A. Samad Said
kami yang menanti tintamu
getun tidak tersantun
mohon...
kembangkan yang layu
agar hari ini hari gembira
sebelum tinta hilang suara
kerna Salina setia menunggu
di bawah langit petang.

A. Samad Said
lupakah cerita-cerita bunda
tentang sungai mengalir lesu
hingga kau tidak tahu
ke mana terbang si burung senja
tika adik datang
didakap harap.

A. Samad Said
dalam usia berida
jangan biarkan obrolmu lara
usir beringasmu
berinda mesra itukan mulia
kerna baronganmu akan dinista.

A. Samad Said
ayahanda penulisan kita
biar kupimpin tanganmu
mari kita ke sana melihat syurga
walau hiasannya bukan permata dan sutera.

A. Samad Said
Perjuanganmu halakan ke mana?

Terilham kerana cinta sayangku pada SN A.Samad Said idola penulisan. Karya ini adalah daripada tajuk-tajuk koleksi cerpen beliau dari tahun 1954 hingga 1992 sebanyak 54 judul. Koleksi ini terselenggara oleh Dr Othman Putih (DBP). Maaf, kerna aku menyanjungmu aku tidak mampu melihat kau tersandung. Maaf, aku tidak berniat biadab sekadar mengharap suatu keajaiban baru dalam ketokohanmu sebagai pengarang besar yang memiliki 'mastercraftsman'. Seruku "Melayu bersatu, tinta penamu sakti, bilang saja satu, akan banyak yang tersentuh hati ". Semoga Allah merahmatimu. 
                    Jangan biarkan karya-karyamu menjadi KOSONG.




Sunday, 22 April 2012

Siapa yang tidak pernah jatuh?
Jatuh tangga, jatuh bangunan, jatuh pokok atau sekurang-kurangnya jatuh hati. Tapi pesan embah ini untuk mereka yang jatuh dan melihat yang jatuh bukan untuk yang jatuh hati. Terutama anak-anak kecil, apabila anak-anak ini jatuh, sila cepat beri bantuan, paling segera renjis atau siram air pada tapak atau kawasan anak-anak itu jatuh. Dengan harapan kita dapat panggil semula semangat anak-anak tadi supaya cepat pulih dan segar.Jangan lupa baca selawat ke atas nabi kita. Insya Allah penyakit tidak melarat.

Saturday, 21 April 2012

Puisi Kuda dan Kuda

Kuda oh kuda
tutup mata mengheret roda
keliling-keliling kota
mereka melihat ketawa
gembira tidak direka
lebih molek kalau kau buta
biarkan hati  berkata-kata
tanpa prasangka.

Gelanggang pantai Port Dickson
membiar cuma cuma membiar
melihat kau diperkuda
 upah ditadah tenaga diperah.

Kuda oh kuda
buat kerja yang tidak disuka
atas arahan kerja
atas arahan ketua
sampai dimamah usia
tidak kira siapa
yang penting siap kerja
apa jadi apa rupa.

Kuda oh kuda
masa bila bisa ketawa
jika kerja sampai tua.

Kuda oh kuda
remajamu mencatat nama
dewasa dayamu dinista
kerna kurang upaya.

Kuda oh kuda
sampai bila angguk kepala
demi nama ketua.

Kuda oh kuda
jasamu sering dilupa
bila pangkat tidak  di dada
bila darjat meghambat nama.
Waktu itu, siapa menjadi kuda?

Percutianku ke Pantai Port Dickson pada 9 Julai 2011 setelah hampir lapan tahun tidak ke sana membawa banyak perubahan. Kuda dijadikan tarikan pelancong untuk keliling pantai. Tetapi hatiku terusik melihat kezaliman manusia terhadap kuda. Maka tersiratlah puisi ini. Adakah aku juga boleh disamakan dengan kuda-kuda itu dalam meniti setiap detik dan waktu. Hanya tuhan yang tahu. Namun niatku satu bekerja kerana Allah s.w.t, walaupun mereka punya agenda tersirat yang barang kali tidak sengaja. Ruang-ruang kesabaran, itulah peluang melahirkan kemaafan.
 
 



 Gambar atas, aku adalah generasi ketiga Lurah Usap Kasnawi, Sebelah kiri adalah adik adikku. Waris kepimpinan. Siti Asiah  - pendidikan. Noraidah Eksekutif Kewangan dan Hartanah.


Ini adalah generasi keempat Lurah Usap. Anak-anak lelakiku yang akan meneruskan kepimpinan dalam bidang masing-masing. Ciri-ciri etno Jawa mulai pudar daripada wajah-wajah kesayangan ini. Kehadiran insan di maya ini membawa keunikannya yang tersendiri. Hargai diri kalian dengan kesyukuran. Sampaikah waktuku untuk melihat generasi seterusnya? Akan saling mengenalikah mereka dalam cabaran-cabaran kehidupan? Isilah ruang-ruang kehidupan ini dengan kebajikan.

Album Kenangan


 Lurah  Hj Usap Kasnawi dan Hjh Aminah Rajadikrama,                 Ketua Kampong Pertama, Kg Sungai Kelambu, Generasi Pertamaku. Di sebelah kanan adalah Generasi Kedua  yang tinggal daripada lima lelaki. Yang di depan kiri telah meninggal pada 22.Mac 2012. Semoga dicucuri rahmat ke atas rohnya.Amin.
Ini adalah generasi kedua perempuan yang masih cukup tiga orang. Salah seorang di antaranya adalah ibuku yang tercinta. Kedua bongsu duduk sebelah kanan sekali. Semoga sihat selalu dan bahagia mengharungi senja kehidupan.
 Semasa perhimpunan keluarga besar Usap Kasnawi, suasana yang amat menyentuh kalbu adalah majlis doa ini. Lihat dengan tidak sengaja gambar ini memaparkan tinggal lima orang sahaja. Seolah-olah ketentuan buat salah seorang abang ibuku telah tercatat. Hanya Allah yang maha tahu.
Astahfirullah al-Azim...Subhanallah.
Kuatkanlah mereka yang tinggal sebagai sumber kekuatan dalam persaudaraan.Amin.




Sunday, 15 April 2012

Aku ingat pesan embahku masa dulu. Kalau terasa hendak kencing atau buang air besar semasa dalam perjalanan, tidak dibenarkan membuangnya di jalanan. Masa itu tiada RnR. Embah dan ibuku menyuruh aku menggenggam tangan dengan menyorokkan ibu jari (jempol) kemudian baca selawat tiga kali dan tiup pada bahagian ibu jari yang tersorok itu. Jangan buka sehingga sampai destinasi yang ditujui. 
Insya Allah dengan izinNya keinginan untuk membuang akan hilang. Aku praktikkan kepada anak-anakku, alhamdulillah berhasil. Kepada anak-anak yang belum pandai berbuat demikian, ambil saputangan dan simpul salah satu bujunya, baca selawat tiup pada simpulan itu, masukkan dalam poket seluar atau baju anak-anak kita. Apabila sampai di destinasinya bukalah simpulan itu. Harap jangan terlupa dan tercicir. Begitulah sebagai ibu bapa mesti perihatin pada anak-anak. Memakai lampin memang mudah tetapi melekakan kita dalam pertangungjawaban terhadap anak-anak. Selamat mencuba dengan yakin. Insya Allah jimat belanja.  
"...mengingati kembali sejarah yang hilang adalah satu usaha
 yang mulia dan mempunyai nilai yang tersirat".

"Pencarian identiti yang tulen harus didasari nilai-nilai 
seperti keadilan dan kesaksamaan". 

"Kejahiliahan yang tersusun rapi hanya boleh diatasi 
oleh kebenaran yang terserlah dan mengeluarkan sinar cahaya
 yang menerangi alam semesta".

(Dr Ghazaly Abdul Wahab, dalam kertas kerjanya "Sejarah dan Pembangunan Jati Diri ) 

Adilkah Keadilan

Keadilan retorik kata
sukar dikota
kerna di dalamnya ada dusta
kerna di dalamnya ada dilema
cerita demi cerita.

Keadilan sukar dianalisa
permainan si pendosa
dalam tiap bicara
kosa kata itu berbisa.

Letaklah keadilan di tempatnya
tentu hidup akan bahagia
sadis-sadis tidak bahaya
diredah gembira.

Berilah keadilan pada haknya
tidak akan curiga
terbangkit percaya
hati nuraga akan bercahya
membina saudara
membina jagat mulia
terkubur sengsara
bahagia bual bicara.
Masih adilkah kita?

Luahan rasa tidak puas hati atas cara pengadilan puisi pada 12 April 2012 di SMK B.Banting. Ini terkarya bagi memujuk hati sendiri kerna tiada siapa bisa menjawabnya. Pertandingan berbentuk suara perlu dirakam bagi mengulangdengar jika ada bantahan. Tetapi hari itu, rakaman tidak ada bagaimana aku mampu mempertahankan pelajarku. Aku hadir dengan matahati yang yakin dan segar. Aku mendengar dengan jelas setiap persembahan, kerna aku tidak tuli dan aku tidak buta, malangnya pelajarku menjadi mangsa ketidakadilan kerana suara tidak dapat diperdengarkan lagi. Atau kerana iri hati dan benci. Allah yang mengerti.

Aku Belajar Mengerti

Aku belajar lagi
melihat rias-rias benci
jelingnya bahasa caci
emosiku mati.

Aku belajar lagi
terpandang rias itu 
hatiku mati
itukah benci?

Aku belajar mengerti
jauh membawa diri
agar tidak menjeruk hati
membina motivasi.

Aku belajar mengerti
kenapa aku harus menyepi
meminggir diri
dalam ladang berduri.

Aku belajar lagi
membuang busuk hati
agar bila ku mati
hilang semua rasa benci
hilang semua rasa iri
aku tidak menyaingi dia lagi.

Aku belajar lagi
cara menggamit hati
senyum hingga terlihat gigi
harap-harap ada yang sudi
sambut ukhwah ini
ruang menyemai budi.

Belajar itu sakit
mengerti itu sakit
aku tersepit
antara belajar mengerti yang pahit.
Terubatkah kebencian ini?

Terkarya pada 12 April 2012, jam 10.45am di SMK Bandar Banting, ketika aku gembira dapat bersua semua rakan lama, tetapi antara mereka ada satu yang aku tidak tahu apa salahku padanya, setiap perhimpunan atau perjumpaan yang berlaku antara aku dan dia, emosiku menjadi mangsa. Hati ini tidak dapat dibohongi. Ya Allah, ampuni dia kiranya dia salah sangka padaku. Ya Allah, ampuni aku kiranya aku salah anggap kepadanya. Hargai dia, hargai aku selagi kami bernyawa.

'Selamat Bersara buat Kak Zaiton Hamid'.
 Bersara dari tugas rasmi tidak bererti bersara daripada kehidupan yang indah ini. Kehidupan adalah perkhidmatan. Perkhidmatan adalah ibadah. 'Bekerjalah kamu seolah-olah kamu akan hidup selamanya, beribadatlah kamu seolah-olah kamu akan mati esok'. Ini bererti kita sebagai hambaNya perlu seimbang dalam pengurusan hidup kerana masa adalah penentu segalanya.
Jangan padang kami bertiga sebagai fokusnya tetapi cuba lihat latar belakang kami, replika kapal korek bijih timah, jentera yang banyak mengeluarkan isi bumi di Perak dan di Timah Langat Selangor. Alam menjadi mangsa kerakusan manusia. Namun manusia perlukan alam untuk perjuangan kehidupan. Kita saling memerlukan. Yang penting jangan tamak haloba hingga milik orang menjadi milik kita.
'Harga Sebuah Maruah' sebuah teater yang sebenarnya dilakonkan dalam kehidupan manusia. Berapa harga kehidupan kita? Berapa harga maruah kita? Hanya keimanan yang dapat menjawab persoalan ini. Harganya di tangan sendiri sama ada kanan atau pun kiri. Allah yang mengadilinya.
Galeri Mahathir menjadi saksi, aku dipercayai untuk menjadi pengadil pertandingan 'cerita tentang tokoh negara'. Kepercayaan sangat mahal harga dan nilainya. Namun menjadi pengadil amat sukar ditafsir gundah gulananya. Adilkah aku? Begitu sukarnya menentukan keputusan. Allah jua yang memiliki keadilan sebenar.
 Bersama Prof.Lim Swee Ting selepas pengadilan Deklamasi Puisi Remaja di DBP Okt 2011, Beliau adalah contoh warganegara dan pencinta seni budaya Melayu. Karya-karya beliau menggambarkan rasa cinta yang ikhlas terhadap negara. Warna tidak menjadi pemisah bicara kata. Keluhuran membuat dirinya bernuansa.

Thursday, 12 April 2012

"Since it was published, 
the SEJARAH MELAYU has rightly been considered
the most important Malay historical work".

(Prof. Dr. R. Roolvink, The Variant Versions of the Malay Annals,BKl, 1967)
 
 

"The work,
commonly known as THE MALAY ANNALS,
is the most famous,
distinctive and best of all Malay literary works".
  
(Sir Richard Winstedt, A History of Classical Malay Literature, 1969)
 
 
 
"SEJARAH MELAYU, karya sejarah teragung dalam
kesusasteraan klasik Melayu".
 
(Teuku Iskandar, Kesusasteraan Klasik Melayu Sepanjang Abad, 1995)



"Dengan tiada syak lagi,
bahawa di antara perpustakaan lama Melayu,
buku SEJARAH MELAYU, 'Sulalat'us-Salatin'
inilah yang terpenting dan tertinggi mutunya 
daripada yang lain-lain ... Pengarang atau
penyusun buku SEJARAH MELAYU itu nyatalah
seorang yang berpengetahuan dan bijak dalam 
ilmu karang-mengarang,
kerana dapat ianya menggambarkan 
keadaan-keadaan pada suatu zaman ..."

(A. Samad Ahmad, Sejarah Kesusasteraan Melayu II, 1965)
"Pendeknya, di sini kita berhadapan dengan sebuah ciptaan seni.
Dalam sifatnya seperti itu,
dan tidak pula kurang sebagai sumber pengetahuan sejarah,
kebudayaan dan ilmu sosiologi masyarakat Melayu lama,
SEJARAH MELAYU berhak meminta perhatian sepenuhnya ..."

(T.D. Situmorang dan Prof. Dr. A. Teeuw. (ed.) Sejarah Melayu 1952
"Hubaya- hubaya, dengarlah olehmu hai segala orang Melayu. Barang siapa 
yang mendapat kitab (SEJARAH MELAYU) ini, maka janganlah engkau tolakkan
 atau engkau bantahi akan kitab yang serupa ini, kerana rupanya terlalu lain 
daripada yang engkau biasa melihat dan membaca ... supaya bertambah-tambah
 akalnya dan ilmunya, adanya".

(Abdullah Munsyi bin Abdul Kadir Munsyi, (ed.), Sejarah Melayu, 1831

Petikan Sulalat'us-Salatin

                   "... supaya diketahui oleh segala anak-cucu kita yang kemudian
                   daripada kita, dan boleh diingatkannya oleh segala mereka itu, 
                   syahadan adalah beroleh faedah ia daripadanya". 

(Demikianlah pesan dan amanah perawi Hikayat Melayu, Tun Muhammad
 (Tun Seri Lanang) bin Tun Ahmad bin Tun Isap Misai bin Tun Isap Barakah 
 bin Tun Khoja Ahmad Bin Bendahara Paduka Tuan bin Bendahara Paduka Raja 
 Tun Perak bin Tun Perpatih Sedang), 1612.
Halaman XX Prakata, buku Hikayat Melayu, 
selenggaraan Muhammad Yusof Hashim, IKSEP 1998

Cermin Sejarah

                 "... lihatlah cermin untuk membetulkan kedudukan topi kita".
                      Ini adalah maksud pepatah China. Cermin di sini ialah sejarah.

Saturday, 7 April 2012

Kekuatan Seorang Guru

Embahku pernah berpesan, untuk menjadi seorang guru perlu kepada 5K
Kesabaran
Keimanan
Kesihatan
Kekuatan
Kasih sayang.
dengan 5K ini guru akan dipandang tinggi

Friday, 6 April 2012

Embah adalah orang lama yang lebih dulu makan garam, maka apa yang dikata beri perhatian, mampu lakukan tidak mampu ucapkan terima kasih, kerana esok lusa mungkin kita akan memerlukannya. Bagi diri saya, saya amat yakin kerana embah telah melalui dan mengalaminya maka dia berkata dan berpesan. Antara pesanannya yang saya terus amalkan dan menjadi keyakinan pada saya untuk saya kongsikan di sini adalah...

     1. Petua menjaga gigi dan gusi supaya tahan lama
         -jika berada di dalam tandas elakkan daripada berludah

     2. Petua agar tidak selalu demam dan sakit badan
          -masuk sahaja ke dalam bilik air, siram kaki terlebih dahulu
           sekurang-kurangnya 3 kali sambil urut berselang kaki menggunakan
           tumit kaki sahaja hingga terasa seolah-olah jari kaki ditarik-tarik.

       3. Petua menjaga mata terang
           3.1   terang dalam gelap malam - cuci mata menggunakan air limau nipis
                   yang diperah terus ke mata, yang terbaik sebelum baligh, inilah
                   amalan pahlawan-pahlawan kebal zaman silam, zaman perang
                   gunakan gaman. Jangan memandai...
                   kena  berguru    membuatnya.
           3.2   untuk elakkan rabun dekat dan rabun jauh, setiap kali bangun pagi
                   sebelum subuh pergi dekati pohon-pohon hijau minta izin
                   dekati helai-helai daun dan baca doa, dengan bahasa
                   isyarat tangan tekapkan pada mata.

Ilusi Yatim Piatu

Deruan angin Selat Melaka
mencium pipi
membelai hati
syahdu menjadi yatim piatu.

Atas hamparan sejadah rindu
mereka merayu dan mengadu
terima kasih ayah terima kasih ibu
kernamu aku mengerti rindu itu
kerna kalian kubina ketabahan
sayang, aku hilang belaian
hangat ribaanmu hanya bayangan
memanggilmu cuma igauan
doaku jambatan sayang.

Cabaran mendatangi cabaran
meniti kedewasaan seorang
berilusi kenangan
kekal warisan tenang.

Dalam kenyataan tiada kesunyian
dakapan kata sayang
dakapan kata kasihan
bekalan dan harapan akrab berkawan
berkiblat keseorangan
meruntun emosi meruntun
aku seorang di sini
tanpa pedang sakti
tanpa azimat dan jampi
meratah derita diri.
Masih sanggupkah aku meniti?

Karya 28 Mac 2012 jam 2.15.  Selepas solat zohor, di Kem El-Azhar Morib. Aku berbengkel untuk program PROSTAR. Pada hari yang sama puluhan anak-anak yatim juga sedang berkhemah/berkursus.

Perjalanan Rezeki

Klang Konsortium Sani Ekspress
Super Eagle Mutiara Jebat
nama-nama hebat
menjaring rezeki menghambat berkat
perjalananmu belum tentu selamat.

Barisan titipan nyawa
mengharap kesampaian
destinasi penantian.

Harapan kasih sayang
mendakap rindu mendakap dendam
pabila kau bertandang
selamat dengan gemilang.

Barisan nyawa di dalammu
debaran bertali arus
doa-doa tidak terputus
 kerna kelajuanmu rakus.

Selamat datang selamat pulang
terima kasih perjalanan
kenderaan-kenderaan awam
teruskan perkhidmatan
teruskan penghantaran
rezeki di hujung kelajuan.

Perlindungan Illahi Rabbi
keredhaan rezeki
yang tergaul dalam diri dan hati
membina peribadi
zuriat-zuriat membina pertiwi.
Waris pemandukah ini?

Terhasil pada 29.03.2012... diselesaikan stanza selanjutnya pada  2.4.12. puisi ini telah tersiar di Varsiti Berita Harian 19.4.2012 bersamaan hari Khamis.



Nyawaku Tinggal Sejengkal

Mata besi di mata hati
yang kutatang selama ini
buah hati diheret 'buddy.'

Nyawa sejengkalku ini
membenteng suara cinta
darah membeku tidak terasa
parkinsons derita raga
kerna raja iblismu bermahkota.

Sejengkal nyawaku ini
gelora menggila
terkaman sijarah durjana
apa dituntutnya
permata itu hilang tawa
permata itu hilang suara
mata besi menanti
merah mengalir di Gombak ini.
Kenapa kami yang dicari?



Ilham daripada peristiwa pencerobohan rumah di Gombak awal tahun  Januari 2012, kanak-kanak 6 tahun menjadi tawanan. Bayangkan jika anda adalah ibu kepada si anak yang melihat situasi itu. 

Monday, 2 April 2012

Puisi 'Lima Pagi'

Lima Pagi

Lima pagi, apa-apa bisa terjadi
arah ke kanan belok ke kiri
kereta sapu kusangka teksi
kuhampiri
tawar menawar sakitkan hati.

Lima pagi, apa-apa bisa terjadi
waktu dahulu pergi perigi
di situ mencuci diri
utamanya bersugi
sambil menanti mentari
selepas subuh sempurna didiri.

Lima pagi, apa-apa bisa terjadi
monorel di KL ini
membawa gadis-gadis yang bukan sunti
selepas menjual diri
hilang nilai peribadi
famili ternanti-anti
sucikah rezeki.

Lima pagi, apa-apa bisa terjadi
para pelajar bergegas diri
lari dan lari
dalam bas tak mahu berdiri
hingga lupa pada Illahi.

Lima pagi, apa-apa bisa terjadi
waktu dulu lampu di dahi
berjalan kaki mengandar baldi
meredah embun mengutip rezeki
semoga dapat redha Illahi.

Lima pagi, apa-apa bisa terjadi
ada yang masih menganyam mimpi
yang mengaji tidakkan rugi
untuk menguliti dosa sendiri.

Lima pagi, masihkah ada mentari lagi?

Karya 29.1.12, aku sudah di perhentian Bas tepat jam lima lantaran  destinasiku Klang-Penang untuk kursus intensif yang bermula jam 9.00am hari yang sama hingga 12.2.12.