Pages

Wednesday, 31 December 2014

Januari Datang Lagi

Januari datang lagi
Apa bezanya dengan hari semalam. 1 Januari 2015 jatuh pada hari Khamis lagi dua hari Maulidur Rasul yang lebih agong daripada sambutan tahun baru. Hari pertama tahun baru...huh sama seperti hari-hari yang berlalu.
Cuma entah mengapa, aku seolah-olah jemu hari ini. Kesepian taman perumahanku yang menjadikan mindaku begini atau suasana rumahku yang begitu. Aku tidak dapat pastikan.
Rutin hidupku tetap sama walau pun tahun baru menjelma.
Aku masih belum kaya harta.
Aku masih belum kaya wang berjuta.
Aku masih aku, guru cabuk yang diminta mengelap habuk, yang diminta ikut arah tunduk, yang diminta tawadhuk. Aku akur sebagai guru. Sebelum bersara itulah kerja aku. Selak buku, semak  buku, tanda buku, susun buku, simpan buku, pilih buku, buku, buku, buku. Tapi tidak ada yang masuk dalam buku simpananku. Walau itu yang sangat aku cita-citakan.
Tahun ini aku akan biarkan diriku begitu sahaja. Ikut arus kehidupan dan perancangan Allah.Ini kerana setiap tahun pun begitu jadinya. Belum pun tahun berakhir pihak lain sudah merancang perjalanan hidupku.
2015 ini lagi hebat perancangan mereka buat diriku.
Aku, guru kelas 5 Karomah, tugasan yang sudah 20 tahun tidak aku lakukan.
Aku, ketua pengarang majalah sekolah pengalaman yang pernah aku kutip dan telah kutinggalkan semenjak 1978 dan 1979 di Sekolah Tengku Ampuan Rahimah, Kelang (nama dan ejaan zaman aku).
Aku, setiausaha Badan Induk Pengawas juga jawatan yang telah aku tinggalkan pada tahun 1986 di SAMUS,K.Darat.
Aku, aku juga guru perpustakaan satu lagi jawatan yang telah aku tinggalkan pada tahun 1993 di SAMUS,K.Darat.
Belum lagi tugasan aku sebagai pembimbing peserta-peserta puisi, puisi dan lagu, teater, dan pantun. Peserta-peserta ini akan mewakili sekolah, akan mengangkat nama sekolah...jika nasib baik akan mewakili daerah ke peringkat negeri seperti tahun 2014. Itu memang cita-cita besarku, apabila menghantar peserta mesti mahu menang. Aku tidak mahu buat kerja asal ada, asal buat. Itu bukan sikapku. Tapi ramai yang tidak dapat membaca siapa aku.
Tengoklah...baru 1 Januari 2015, kerja yang nak dibuat dah sampai Disember 2015. Minda dan fikiranku dah habis berfikir. 1 Januari tapi dah menjengok kalender 2016, jadi macam mana dan bagaimana nak selitkan azam lagi. Maka azam aku aku nak sempurnakan semua tugasan dan tanggungjawabku dengan baik dan tip top.
Hai...nak tip top kena merancang apa yang pihak sekolah dah rancang untuk aku. Itu permulaan yang baik.
Pertama, kena siapkan Rancangan Pengajaran Tahunan (RPT) bukan satu, RPT BM Ting.4, RPT PSV Ting.1 subjek baru, subjek yang aku pernah ambil separuh jalan di ITM (1980). Aku tidak dapat habiskan bukan gagal tetapi tak cukup modal, Pa n Ma aku orang tidak berada bak kata mak Sudin dalam filem Bujang Lapok.RPT Sejarah Ting.1 dan Ting.5. Ini semua merupakan proses minda yang berterusan hingga Disember 2015. Maka aku sudah tahu tugasanku hingga akhir tahun.
Jadi... apa lagi yang harus aku rancang untuk diriku. Belum lagi ko-kurikulum pada setiap hari Rabu sepanjang tahun.
Aduh...inilah tugas seorang guru yang selalu mereka yang bukan guru kata mengata untung jadi guru.
Ya, syukur Alhamdulillah aku seorang guru/cikgu. Bijak pandai kata menjadi guru banyak deposit senyap, banyak pahala di akhirat, katanya. Itu jika redha, itu jika ikhlas, tidak merunggut, tidak mengumpat, tidak mengutuk organisasi sendiri. Belum lagi gossip-gossip yang lain.
Menjadi guru mesti bijak atur, mesti kreatif masa, bukan curi masa or curi tulang. Semua sudah diukur mengikut kemampuan.
Ini bukan luahan tapi rutin kerja dan kehidupan seorang guru/cikgu. Yang paling stress apabila tiba-tiba datang berita...pelawat, pemantau atau nazir nak datang ke sekolah. Kerja-kerja yang dah beres pun macam tak beres, kerja-kerja yang cantik pun macam kurang cantik. Mulalah akal-akal cerdik keluar daripada kawan-kawan yangotakmya berbatik-batik. Nak cutilah, tak nak datanglah hari itu, huh macam-macam lagi lah. Akan jadi sama juga tahun ini. Perayalah.
  

Lembaran Baru

Selamat Tahun Baru 2015
Assalamualaikum wbt
Lama aku tidak mencoret di helaian putih ini. Aku sendiri tidak tahu kenapa, sedangkan begitu banyak cerita dan peristiwa boleh kukongsikan bersama teman-teman.
Adakah kerana waktu, ruang atau ...yang jelas adalah pengurusan masa aku menghadapi tugasan seharian.

2014 meninggalkan seribu satu kenangan, sama ada menjadi tauladan atau pengajaran, aku sendiri belum dapat untuk membuat pengukuran kerana 2015 baru sahaja menampakkan wajahnya yang ceria. Seperti tahun-tahun sebelum ini pun begitu juga. Januari semuanya indah dengan azam menebal Febuari mula mencari akal dan terkial-kial, Mac mulalah tercunggap-cunggap, April tugasan dah mula datang bergilir-gilir, Mei semua muka-muka yg berazam indah dah jadi sememei dan tidak terurus. Jun,Julai Ogos semua orang yang berurusan dengan kita mahu hasil yang bagus-bagus, September dan Oktober mulalah nampak muka-muka selamber pada yg urusan tidak sempurna, merunggut...semua nak siap, semua nak segera, semua nak ada, semua nak update, kita bukan robot, November dan Disember...ahh lega rasanya biar pun ada kerja=kerja tergantung, ada kerja-kerja belum beres betul yang penting cuti sekolah dah tiba. Hurray.
Adakah 2015 juga begitu?
Ye...saya percaya cerita ini akan berulang lagi kerana tugasan saya masih di bawah naungan yang sama, masih di bawah tranfomasi pendidikan negara.
Cuma bezanya, kalau diurus dengan kemas, teliti dan berhati-hati tentu akan lebih sempurna dan boleh menambathati orang-orang di sekeliling kita.
Azam,
Oh ya azam...mana perginya azam awal tahun tadi ye.
Aku tidak pernah berhasil mencapai azamku walau pun 30%...tapi aku tidak pernah menyesal malah aku sangat gumbira, ya sangat gumbira bak kata P.Ramlee. Azam adalah hanya kata-kata manis yang mengisi helaian putih yg pertama kita buka pada senaskah buku kosong. Tahun ini aku tidak mahu berazam. Aku biarkan kehidupanku yg ke-55 ini berlalu begitu. Yang penting setiap hari, apa yang aku lakukan aku mulakan dengan niat kerana Allah. Kerna hidup dan matiku hanya kepada Allah.
Sebenarnya...2015 ini belum bermula cerita baru buat diriku. Maka aku ingin berkongsi suka dukaku pada tahun 2014. Itu pun jika aku masih ingat lagi.