Pages

Tuesday, 5 February 2013

Chowrasta


Chowrasta, Chowrasta, Chowrasta
 menjadi sumber bual bicara
menawar harga peraga
dalam himpitan pasaraya
mewarnai kota
 Pak Ali dan Aishah berjeruk pala
menanti indah terwadah.

Chowrasta, Chowrasta, Chowrasta
menjaring laba si peniaga
menjadi syurga
menjerat pelanduk dan rusa
yang lupa waspada.

Chowrasta
pengoda dunia
pelbagai warna dipamernya
menyesak dada
mereka yang tidak berpunya
menjerit perit
poket-poket menjadi sakit.

Chowrasta
sisa pembangunan kota
tidak selesa petak niaga
pengunjung berkata seketika
masa menawar harga
esok lusa berbeza bangsa
teguran tidak bermakna
Chowrasta begitu juga
indah khabar dari rupa.
Tidak bisakah Chowrasta berubah cerita?


3.Febuari 2013...pertama kali menjejak kaki di Chowrasta...terkedu dan terkedu, itukah Chowrasta yang yang dibangga-bangga., aku tidak mampu  ceritakan ...





Monday, 4 February 2013

Jejantas Hati


Jejantas ini
besi berpinggir besi
pemerhati mimpi nan tinggi
menjilid hati suci dan keji
pejalan-pejalan kaki.

Jejantas ini
menelan ribuan cerita
cinta derita cinta
mencatat kisah nan resah
minda nan gundah.

Jejantas ini tidak pernah sepi
tiap saat terisi
melihat sarat
menjadi saksi sahabat
menjadi saksi setia jabat
melintas atas lampu isyarat.

Jejantas ini laluan hati
hentak henyak sang kaki
tekun senyum memerhati
memburu mimpi mahkota diri
bernama siswi.
Kapan kau bisa henti meniti?

2009 hingga 2013 tahun menguji aku menjadi mahasitua hanya kerana cita-cita lama, sebuah jejantas hati menjadi penghubung desasiswa - dewan peperiksaan melintasi Jalan Bukit Gambang di P.Pinang. Jika jejantas itu rapuh runtuh bererti semangat para siswi/wa juga akan roboh sama. USM akan melakar satu cerita kesengsaraan siswa. 2.2.2013, Restu,B7-10...2.30am

Saturday, 2 February 2013

Organisasi dan Carta Gerakan Dakwah Islamiah



Nabi Muhammad s.a.w diangkat menjadi rasul pada permulaan abad 7M dan tugasnya dinyatakan oleh Allah s.w.t dalam al-Qur'an, Surah al-Ahzab, ayat 45-46 dengan firmannya bermaksud:

              " Hai nabi, sesungguhnya Kami mengutusmu untuk menjadi saksi, dan pembawa khabar gembira dan pemberi peringatan: dan untuk menjadi penyeru (pendakwah) kepada agama Allah (Islam) dan untuk menjadi cahaya yang menerangi."

Ayat ini menyatakan tugas nabi Muhammad s.a.w ialah:
             1.   Jadi saksi (syahid)
             2.   Pembawa berita gembira (basyir)
             3.   Pemberi peringatan (nazir)
             4.   Penyeru (pendakwah)
             5.   Menjadi cahaya yang menerangi: iaitu pertunjuk jalan Allah yang lurus dan selamat.

Secara ringkas, tugas nabi Muhammad s.a.w adalah menyeru manusia beriman dengan Allah, melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya.

Allah s.w.t memang mengetahui bahawa Islam akan menghadapi cabaran. Oleh itu, Allah s.w.t menentukan metodologi berdakwah dan menyuruh para rasul-Nya menuruti metodologi ini seperti dalam firman-Nya, Surah al-Nahl, ayat 125, yang bermaksud:

                    "Serulah (dakwahi) manusia kepada jalan Tuhanmu (Allah) dengan hikmah dan kata nasihat yang baik dan bantahlah mereka itu dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu, Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang sesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui tentang orang-orang yang mendapat hidayah (petunjuk)."

Maksud ayat di atas, Allah s.w.t.  menentukan tiga kaedah dalam menyebarkan dakwah Islamiah:
1.  Al-hikmah
2.  Al-mau;izah al-hasanah (nasihat yang baik)
3.  Al-muja'dalah billati' hia ahsan (berbahas/berdiskusi dengan cara yang lebih baik)

Inilah metodologi yang dijalankan oleh Rasulullah sepanjang hayatnya sebagai rasul. Dan kaedah inilah juga yang mesti dijalankan oleh semua pendakwah sampai bila-bila masa pun.

 Hikmah
Erti  hikmah dari segi bahasa:
1.  keadilan
2.  tahan marah
3.  kenabian (benar, amanah, tabligh)
4.  tidak meperlihatkan kejahilan
5.  perkataan yang tepat dan hak (kebenaran)
6.  meletakkan sesuatu pada tempatnya
7.  sesuatu yang mencegah kerosakan
8.  pengetahuan yang terbaik yang didapati daripada ilmu yang terbaik.

Hikmah dari segi tafsir:
1.   Al-Qur'an al-Karim
2.   Dalil yang kuat yang boleh menerangkan kebenaran dan menghilangkan keraguan.

Jika disimpulkan, hikmah mengandungi tiga kategori:
1.   Hikmah sifat pendakwah,
2.   Hikmah isi kandungan dakwah,
3.   Hikmah alat dan strategi dakwah.
   
(Sumber rujukan; Dakwah Islamiah Malaysia, 1995,Sidi Gazalba, Zainab Ismail dan Wan Hussein Azmi)