Pages

Monday, 17 December 2012

Langkahku bermula...


              Salam mesra para pembaca...salam pertemuan kedua, aku ingin menyambung ceritaku...begini
     
Seronoknya aku menjadi cucu kesayangan embah, ke kebun aku ikut, ke kandang kambing aku ikut, ke pekan aku ikut. Waktu itu adikku baru berumur satu tahun maka embah selalu tinggalkan dia. Dia masih perlukan ibu untuk mengisi perutnya...masih menetek kata embah. Nanti menangis susah embah dibuatnya. Kanak-kanak umur tiga tahun semua nak tahu, itulah aku.
             Suatu hari dalam kandang kambing, aku dilepaskan dari gendungan emban embah. Aku berjalan-jalan di celah kambing hitam, kambing putih, kambing coklat dan kambing berbelang. Banyak kambing embahku ada lebih kurang sepuluh ekor kot. Aku belum pandai menghitung tapi banyak. Semua kambing embah jinak-jinak belaka. Aku pegang, aku peluk, aku cium,aku duduk atas perut dan leher kambing itu, semua diam tidak memusuhi aku. Paling aku suka kambing yang baru lahir lebih kurang tiga ke empat bulan.
              Selepas embah membersihkan lantai kandang, embah mengisi tempurung-tempurung kelapa yang masih bulat kerana hanya ditebuk kecil di bahagian atas dan di diikat dengan tali batang pisang untuk memudahkan menggantungnya di penjuru kandang. Isi tempurung itu adalah air garam. Air garam inilah tempat sang kambing menjilat-jilat. Embah kata kambing akan jadi kuat dan kebal. Kebal. Ya, kebal daripada penyakit. Memang kambing-kambing embah gemuk dan cantik, bulunya bersih dan berkilat, kakinya kuat. Air garam ini embah aku jampi agar semua kambing mudah ikut kata. Disuruh bangun bangun, disuruh keluar keluar, dipanggil datang walau pun jauh dari mata.
                Selesai mengisi air garam, embah mengisi pula rumput rampai untuk bekalan malam hari. Tempat letak rumput itu memanjang macam para di bahagian luar dinding kandang. Longgokkan rumput sedikit jauh dari kandang. Aku yang ditinggalkan dalam kandang telah lebih dulu duduk di bahagian para rumput. Aku menyelusup melalui ruang kepala kambing. Aku main rumput yang ada di situ. Embahku tidak sedar aku di situ. Embah mencampakkan rumput dari bawah ke atas para betul-betul terkena pada aku. Aku tertimbus oleh rumput-rumput yang embahku campakkan tadi. Aku diam dan rasa seronok sebab semua kepala kambing menujal-nujal rumput di ruang makan. Aku gelak-gelak kecil sambil meraba-raba hidung kambing. Rasa sejuk dan basah. Kambing akan berdehem apabila aku sentuh hidungnya. Aku lagi seronok. Aku tidak takut.
                 Dalam keletihan embah duduk merehatkan diri di bawah pokok kedondong sambil mengipas-ngipas dirinya. Embah memang sangat percaya pada kambing-kambingnya untuk menjaga aku sebab itu aku dibiarkan di situ. Apabila embah tersedar, aku tidak kelihatan, dia menjerit memanggilku. Jeritan itu mengejutkan orang-orang di dalam rumah. Semua keluar. Ada yang mencari di tepi kolam. Ada yang ke tepi parit, ada yang ke jalan. Semua tercari-cari, ke belakang ke depan keluar masuk rumah mencari aku.
                 Embah lanangku yang baru balik dari kebun terus ke kandang kambing. Itu memang rutin embah lanangku. Dia tidak akan masuk ke rumah sebaliknya terus ke kandang kambing walau dari mana sekali pun. Kambing-kambing itu umpama nyawanya. Dia pun memanggil salah seekor kambing kesayangannya...bah...bah...bah. Kambing itu tidak menghampiri embahku. Embahku berasa hairan. Bah..bah...bah, tidak juga datang. Maka embahkulah yang datang. Alangkah terkejutnya embahku apabila melihat aku dalam timbunan rumput yang sedang diragut oleh kambing-kambing milik embahku. Embah lanangku pula menjerit. "Ini siapa dalam kandang, siapa tinggalkan Simah dalam kandang, habis gatal semua badannya nanti, cepat mandikan dia."marah embah lanangku. Simah adalah namaku di kampong, nanti aku ceritakan kenapa panggilanku Simah. Lain masa ya! Semua yang sedang cemas atas kehilanganku jadi gelak, gelak, dan gelak. Aku turut gelak.
                 Sebenarnya ... semua itu diceritakan kepadaku oleh embahku. Hari ini apabila aku melihat kambing, aku teringat embahku. Aku rindu akan embahku. Aku rindu bau rumput yang harum. Aku rasa... mahu memeluk dan mencium kambing-kambing seperti yang pernah aku lakukan masa aku kanak-kanak dulu. Aku tahu aku memiliki sedikit ilmu menjinakkan haiwan tinggalan embahku tetapi aku tidak ada peluang untuk menjadi gembala. Cukuplah aku gembala kambing-kambing itu dalam memoriku.
                 Inilah sekelumit ceritaku untuk tatapan hari ini. Aku ingin bermimpi. Harapanku, sudilah menanti ceritaku lagi. Bah...bah...bah
       

Saturday, 15 December 2012

Perjalanan...


             Setelah setengah abad kehidupan ini aku lalui, banyak kenangan yang telah aku tinggalkan.Yang muda menjadi tua, yang hidup meninggal dunia. Suatu hari nanti aku juga akan memenuhi suratan Illahi.
             Dalam meniti kehidupan ini banyak cerita yang ingin aku kongsi. Semoga anak-anakku nanti kenal akar diri, dapat menyanjung dan memuji kiranya ada jasa baktiku. Harap dapat menyimpan keji hina yang telah aku lalui. Semoga semuanya ini akan dijadikan sejarah sempadan dan tauladan. Jika aku membesar dengan kenangan zaman 50-an dan 60-an, anak-anakku akan mengharungi alaf 21,22 dan juga 23 yang sangat mencabar.
             Sungguhpun cabaran kita berbeza, kita tetap ciptaanNya yang bijaksana. Sesuaikan mana yang ada bagai masuk kandang kambing mengembek dan jadilah harimau di kandangnya. Penyamaran akan membuat kita derita. Jika ular bersalin kulit untuk menjadi dewasa...aku berganti cerita untuk menjadi kuat, tabah dan berjaya mengharungi guruh di hati, gelombang dalam jiwa. Itulah kehidupan. Langkahku akan kuteruskan jua.
              Hari ini 16 Disember 2012, bertambah setahun lagi perjalanan hidupku. Aku tidak gentar melaluinya kerna itu hanya angka. Aku hanya gentar pabila sewaktu-waktu Allah menjemputku. Cukupkah persiapanku. 
              Inilah ceritaku...memoriku yang ingin aku titipkan untuk anak-anakku yang tersayang, untuk orang-orang yang menyayangiku, kiranya aku ada di hatimu.
               Zaman kanak-kanakku zaman tidak berlampu seperti hari ini. Pelita minyak tanah adalah teman setia apabila malam menjelma. Jam 5 petang bapaku mesti mengingatkan aku dan adikku, Asiah agar cepat membersih diri di kolam. Kolam di belakang rumah, rumah embahku: embah Mail dan Mentek, sebelah bapaku di kg Sungai Kelambu. Air kolam yang sejuk di permukaannya hangat setelah badan direndam tenggelam hingga paras leherku. Kini baru aku terfikir kenapa mesti mandi jam 5 petang: air kolam berwarna coklat kehitaman...jika semakin petang semakin tidak kelihatan kerana hari semakin gelap. Itulah air tanah gambut. Kolam mandi dipagari pokok-pokok ubi dan pokok sesudu sebagai pagar-pagar sayang dan perlindungan. Tangga untuk turun ke dalam kolam dibuat daripada dahan kayu yang tahan air tetapi tidak licin macam batu mar-mar hari ini. Setiap kali kami mandi, dengan penuh rasa tanggungjawab dan kasih sayang, bapaku akan menemaniku di pintu pagar pokok ubi dan sesudu. Sabun, aku tidak kenal sabun waktu itu yang ada hanya berus sabut yang dikoyak daripada kulit kelapa secara semerta jika hendak mandi.  Itulah barang kali sabunku. Bapaku akan menghulurkan kain batik lusuh berbelah dua sebagai tuala setelah dia pangggil untuk naik daripada berendam di kolam. Itulah tuala yang aku ada, sejak aku dilahirkan kain-kain batik lusuh milik ibuku, milik embahku atau mungkin siapa saja akan dijadikan lampin dan barut, untuk emban dan apa saja keperluan waktu itu, dengan alasan kain itu sudah lembut baik untuk kulit bayi. Tetapi sebenarnya...itulah zaman kelahiranku, miskin? susah? atau ... Malaysia baru 2 tahun merdeka, kedai dan butik tidak ada untuk menunggu kelahiran cahayamata tercinta. Namun kasih sayang ibu dan bapaku tetap 100% tidak berbelah bagi.
                  Setelah bersiap diri dan makan malam: nama makan malam tapi masih jam 6.30 petang sebelum Maghrib, itulah disiplin bapaku. Displin etnik Jawa, pesan bapaku agar lancar pabila mengaji dan belajar serta tidak mudah mengantuk. Itulah yang aku sering dengar pada hari ini, pakar motivasi dan kesihatan diri menyarankan agar tidak makan pada waktu malam. Rupanya betul cakap bapa dan embahku. Makan malam yang sebenarnya malam akan menggemukkan badan. Aku telah praktikkan cara ini lama dulu cuma tidak meneliti dan tidak ambil pusing. Petua ini terabai...akibatnya kini aku melebihi BMI diri.
                 Oleh kerana aku tinggal dengan embahku, lantaran ayahku adalah anak kedua dan merupakan anak lelaki pertama, embah sangat sayangkan bapaku seperti bapaku sangat sayangkan aku kerana aku anak pertamanya. Lepas solat Isyak, embah akan memasang kelambu di biliknya begitu juga bapaku memasang kelambu di biliknya. Tetapi aku dan adik akan tidor dengan embah. Embah akan bercerita, bercerita dan bercerita hingga aku tertidur. Cerita embah yang masih segar diingatanku adalah cerita tentang seksaan Allah...antara lirik irama lagu Jawa itu
                 eleng-eleng siro menuso, urip ojo ngawe thoso, anger mati melbu neroko...dan lirik lagu ini
                 iki jentik iki jempol, hantu legi untunee gedi...turu kene ojo ngompol, ngenko mati thathe mehti...
lagu ini dinyanyikan sambil embah membilang jari-jemariku, aku lena terbelai manja. Nasihat ini mengajak aku agar jangan jadi derhaka. Derhaka itu berdosa. Banyak dosa tempatnya di neraka membuat aku sangat menghormati ibu bapaku dan embah-embahku. Aku sayang ibuku. Aku sayang bapaku. Aku sayang embah-embahku. Nasihat kedua...embah kata jika tidur dengan embah jangan kencing malam, jika kencing dalam tidur jadi hantu gigi besar. Maka aku pun sentiasa berjaga-jaga untuk tidak terkencing atas kasur yang tidak empuk sebab diperbuat daripada kekabu dan sabut kelapa. Jika aku terasa hendak kencing, aku akan kejutkan embah. Kami turun ke bilik air yang jauh di belakang rumah berdekatan kolam: jaraknya  hampir 500 meter ukuran sekarang,  bayangkan dalam cahaya samar pelita minyak tanah. Pabila dah moden sikit embah beli lampu suluh, jauh belinya di Kg Baru, K.Lumpur dan satu lagi beli di Singapura. Tentu pembaca pelikkan...nanti saya cerita lagi dunia kanak-kanakku.
                 

Waris Palestin


Matanya bundar rambutnya ikal kulitnya gebu
anak Palestin di celah batu
menunggu harapan menunggu
saat detik dan waktu
kerana peluru-peluru itu
gentayangan melayang memburu
sewaktu-waktu menemuimu.

Anak Palestin itu
menghitung waktu mautmu
membilang saat kebinasaan
setia menanti kematian
dengan batu membenteng peradaban
dengan kayu menepis keinsafan
siapa kan datang menghulur bantuan.

Anak Palestin itu
senyumnya dalam cuka derita
tawanya dalam raga sengsara
ayah bonda tinggal nama
kakak abang entah di mana
patung Dolinya dakap ke dada
 pemberi obor nyawa.

Anak Palestin itu 
di situ masih menunggu
negaranya yang satu
kematangannya tidak bisa diukur
kemarahannya terus beratur
bernesan tulang-tulang tersusun
kemerdekaan tuntutan bersambung
aku tidak akan berundur.

Anak Palestin itu
menghitung batu umpama guru
peluru mendarat dihujung kakimu
disapa bagai tetamu
kerna gendang telinga terpadam sudah
deria lihatnya bertandang tidak
ke mana merangkak sayang
di situ mautmu datang
kira tiada jambatan sayang
memberi warna harapan.
Tangan siapa penyambung warisan?


Ilham istimewa 12.12.12 di SMK.TPG jam 3.30 pm...luahan ini tidak separah penderitanya kerna bahu yang memikul sahaja yang tahu rasanya. Semoga Allah sentiasa memberi kekuatan kepada saudara-saudaraku ini. Amin

Saturday, 1 December 2012

Cinta

Kuusir pasir di pantai
tapi mengakrap diri si air masin.

Kuusir si air masin
melutut jua di gigi pantai.

Kerna rindunya pasir dan pantai
Kerna rindunya si air masin
sebaris  rindu Uda dan Dara
seindah Lela Manja
sehebat lagu dan irama.

Itulah patriotisme
Itulah kita ...
dalam membina negara bangsa.
Anda di mana?


*Ilham semerta ketika melihat beberapa pertelingkahan bangsa, nan mencalar keharmonian yang dibina. Kita kian tua, generasi kita pewaris negara yang perlukan panduan dan tauladan. Hulurkan keikhlasan.



Sadisnya Sandy

Sandy...
Ciumanmu melemaskan Romney
Menjengkelkan Hillary
Obama kaku terpanggang dalam kesejukan.

Sapaan Sandy membutakan New York
Sejenak melupai kezaliman
Sejenak merasai kesakitan
Sejenak...kau jua perlu bantuan.

Sandy...
Kenapa mengundur diri
Hambat terus gergasi ini
Hambat terus New York City
Bawa kebencian kami
Bawa sakit hati duniawi
Biar derita dicicip dirasa.

Sandy...
Kau akan datang lagi
Menggulung keangkuhan
Menumbangkan kemegahan
Bertukar darjat kemanusiaan
Atas perintah Tuhan (Allah)

Sandy...
Jawab soalan ini
Siapa kuat di dunia ini?
Pabila kau bawa kebesaran Illahi.

Karya ini hasil keinsafan diri melihat Sandy membadai AS yang angkuh seminggu sebelum pilihanraya Presiden Amerika 2012. Aku memang menjangka Romney akan kalah kerna aku percaya mereka yang berwarna di AS tidak akan melepaskan Obama sebagai simbol dan idola 'The Roots' - Sejarah sedang tercipta,  hamba abdi berjaya ke Rumah Putih atas kegigihan atau takdir tuhan. Hanya Obama Husein yang harus menjawbnya.

Friday, 30 November 2012

Martabatkan Dia

Budaya tidak kenal rupa
Budaya tidak kenal bangsa
Cina, Melayu atau pun India
Bicara bahasanya sama serupa.

Warna... kita boleh warnakan
Corak...boleh kita lakarkan
Berbahasa menenun ketekunan
Berkarya luahan jiwa nan dalam
Mengangkat akal budi
Mengajak warga mengerti
Seni tetap seni
kelahiran sanubari.
Angkat dia
Angkat dia ke tempatnya
kewajaran perjuangan jiwa
Seni sastera juga miliknya.
Angkat dia sehebat sifunya
Angkat dia pengganti busana 
kerna perjuangan berbahasa
bukan tercipta semalam cerita
Anak Tionghua keluar dari garisnya
Anak Tionghua meninggalkan bangsanya
Angkat dia
Permata gilapan masa
Dia tidak serupa dia
melihat bangsa melihat negara
Lewat wadah suara
Lewat bahasa dan budaya
Dia permata susastera
Siapa pengikut dia?

Saya pencinta bahasa dan budaya. Bahasa dan budaya tidak berdusta. Masa menentukan kebenaran dan ketekunan. Saya antara yang sangat bersetuju kiranya Prof. Lim Swee Tin diangkat dalam senarai Sasterawan Negara. Beliau telah bermandi bahasa selama 40 tahun dalam berkarya, satu angka kelahiran baru dalam pemilihan. Tidak ada salahnya demi memartabatkan anak watan dalam karya budaya bangsa. Puisi ini terkarya pada 25 Nov 2012 jam 3.30 pm setelah membaca rencana di BH bertajuk 'Layakkah Lim Swee Tin menjadi Sasterawan Negara?'

Thursday, 29 November 2012

Unit Rawatan Rapi (ICU)

Debaran insani
langkah terakhir episod diri
catatan Illahi terhulur dipatuhi
walau dibentengi kanan dan kiri
kita tetap kembali.

Unit Rawatan Rapi
hanya persinggahan tidak bertepi
dipantau perhati tanpa siapa sedari
Illahi menguji ketabahan hati.

Unit Rawatan Rapi
sepi rapi pantauan Illahi
detik dan detak mesin hayat ini
akan berhenti tiba saatnya nanti
kerna kepakaran insani hanya teori
kepakaran Illahi tidak bisa dikongsi.

Tiba detik itu
jasad menjadi kaku
lidah  terkelu terkedu
airmata hanya bicara kalbu
waktu itu permulaan rindu.
Pada siapa untuk mengadu?


Terkarya pada 29 Sept 2012 jam 12.00am setelah hampir sebulan aku menyaksikan pertarungan nyawa adikku sendiri selepas pembedahan appendix, dua minggu tidak sedarkan diri di hospital Melaka. Adik iparku juga hampir dua bulan keluar masuk ICU di Hospital Sg Buloh. Aku yang melihat hanya mampu berkira-kira siapa pilihan Allah, aku dan keluarga sudah bersedia. KebesaranMu...Allah memilih Salmah Towel untuk menemuinya tepat jam 4.25 petang. Mataku melihat tanpa putus asa satu persatu mesin hayat itu dilepaskan daripada tubuh allahyarham sebagai petanda hampirnya saat kematian. Aku sempat mengiringi pemergiannya dengan 3 kali bacaan Surah Yassin bersama anak-anak arwah. Suamiku hanya mampu membaca sekali sahaja lantaran hatinya amat sayu dan tidak menyampai melihat situasi itu. Janji Allah sedetik pun tidak berganjak. Al-Fathiha buat arwah Salmah Towel.
                  Alhamdulillah, adikku Al-Fairus (Abus) masih diberi peluang untuk bertaubat daripada segala yang dia tahu, itu janjinya setelah Allah memberi peluang kedua. Alhamdulillah.
20 Disember 2012 diterbitkan oleh BH Varsiti Khamis.

Sesumpah


Sesumpah itu masih di situ
menjadi biru pabila diburu
menjadi merah dilempar marah
meninjau-ninjau
hijau tidak mungkin hijau
kerna sutera belacu benangnya.

Sesumpah itu masih di situ
ke udara tidak sampai lidahnya
untuk ke tanah ekornya goyah
di tengah hatinya gundah
kerna jatuhnya dek sepoi bahasa
 taufan meniupkan nama.

Sesumpah itu masih di situ
hanya satu
diberi warna emas jingga
pilihnya suasa tembaga
yang mara geraknya beroda tiga
hanya satu
meriuh beribu batu
kerna hatinya cemburu
membina celaru keliru.

Sesumpah itu masih di situ
tidak mahu beradu
kerna memburu waktu
menjadi ratna ratu.

Sesumpah itu
tersumpah di situ
putih warna waktu itu
fardhu atas fardhu
lagumu sayu minta dibantu
bersatu di nesan batu
sesalmu aku tahu
berundur engkau malu.
Kenapa harus begitu?

Aku terpanggil untuk menulis puisi ini pada 28 Nov 2012 semasa menjadi ketua pengawas STPM di SMK.TPG.Seekor anak sesumpah sedang santai di pohon petai belalang yang baru membesar, sedang aku memerhatikan sesumpah itu dari tingkat 2.Pemerhatian aku ke situ apabila tiba-tiba aku diserang rasa mengantuk pada jam 2.30 pm. Tiga jam bertugas dengan kesetiaan bakti...namun rasa mengantuk ini, ah! Namun ada yang tersirat dalam ilhamku ini. Hayati dan interpritasilah...

Thursday, 15 November 2012

Hijrahkan Diri

Hijrahkan Diri

Banyak berkata dosa hiasnya
diam suara bukan kalah bicara
perhitungan lidah membisu kata
suara merdu tiada berharga
tika kitab tersuluh cahaya.

Di sana nanti
mata menjadi sakti
memutar rakaman bukti
Di sana nanti
kaki tangan tidak bermajmuk lagi
tampal melakar setiap inci
tiada terciri cinta dan benci
Di sana nanti
cuping telinga penadah cerita
menjadi ramah dan mesra
membentang khazanah jiwa
Di sana nanti
mongel bibir tidak berkala
kerna cerita diri dikuliti mati
inci demi inci.

Hijrahkan diri di sini
kitab baru berpahala isi
gugurkan nista cerita
jangan contengi kitab ini
dengan dosa bersulam dosa.

Hijrahkan diri di sini
lukisan hati cerminan terpuji
dalam senyuman bererti
menanti hijrah lagi
Syurga tidak ke mana pergi.
Bisakah aku mengisi?

Ilham sempena Maal Hijrah yang sangat mengesankan pada tahun ini 2012/1433, jam 2.15am,15.11.2012

Diterbitkan pada 3hb Januari 2013,BH,Varsiti Khamis.

Monday, 17 September 2012

Puisi: Apa Salahnya Jalur Gemilang


Merahnya jalur merah itu darah
Putihnya jalur putih itu bersih
Terbina atas letih dan jerih
Terbina atas nama pertiwi
Dalam lindungan Illahi.

Melintang jalur itu kemaraan
berani dan suci hati
mengangkat pertiwi berperibadi
Anak Malaysia di sini.

Berpetak segi  birumu
ketepatan perpaduan bangsa
terbina atas persefahaman
bukti kemajmukan Malaya (Malaysia)
ketika kemerdekaan dirangka bersama
itu tidak dapat didusta
terpatri membina satu Malaysia.

Kuningmu berseri bersegi
murni  berdarjat tinggi
berabad silam anugerah bukti
untuk Maharaja dari Maharani
Strategi strategi hati
jangan ditusuk duri dengki.

Salahkah jalur nan melintang
Salahkah biru perpaduan
Hingga Sang Saka kembali bermedan
mencuit kenangan silam
mengguris Tugu Peringatan
menginjak kemerdekaan.

Apa salahnya Jalur Gemilang
melintangnya perlu ditentang
kibarnya dihalang diserang
kerna tiada sefahaman
atas nama keadilan
atas nama persamaan
akan terkuburlah pendemokrasian.

Apa salahnya Jalur Gemilang
Warna-warna sepadan telah bergandingan
ingin dilerai  berderai
membolen negara bangsa
dalam meniti kencana usia.

Keemasan Jalur Gemilang
tersepuh dalam kematangan
kukuh utuh dalam perjuangan
akur dalam kepatuhan
walau sutera mengganti kibaran
kesetiaan watan teranyam dalam jalinan
jangan goyahkan dalam kemarahan.

Demi Negaraku
Rukun Negara kunci bersatu
Jalur Gemilang panji kemegahan
Rahmat restuMu kupohon saban waktu.
Jangan biarkan tangan hitam tumbangkan
Panji kemerdekaan.
Sanggupkah membenteng diri bersamaku?


Terkarya tika melihat dan mendengar sebahagian remaja dan belia hari ini mula hilang maruah diri. Demi persaudaraan sejagat, aku lakarkan puisi ini pada 9.9.12 jam 2.30pm, sebagai tanda ingat 'di mana bumi dipijak,di situ langit dijunjung'.'Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri lebih baik di negeri sendiri'. Karya ini tersiar pada 27.9.2012 di ruangan Kreatif Varsiti, Khamis, BH

Saturday, 28 July 2012

'Wawasan Pintar - Milikku'

Ini adalah lirik yang mendapat 'restu' pengetua hasil usahaku dalam beberapa pertemuan dengan Prof. Amir Syakir di UiTM, Shah Alam setelah disuaipadan dengan gubahan  muzik daripada miming suaraku sendiri. Demi 'Wawasan Pintar' aku berkorban masa dan wang ringgitku sendiri. Namun aku memiliki kepuasan yang tidak terhingga walaupun ramai 'dedalu' yang ingin menumpang nama. Prof. Amir Syakir memohon kemaafan kerana terpaksa membuang beberapa baris lirik demi keindahan lagu ini. Beliau menerangkan gubahan lagu telah dibuat oleh para pelajar UiTM daripada fakulti 'Arts and Design' yang sebahagiannya menjadi ahli In-Team (waktu diperkenalkan kepadaku hanya menggunakan nama anak-anak didik Hijjaz-UiTM). Prof. Amir sangat memuji korus lagu 'Wawasan  Pintar' yang dikatakan sangat baik dan menginsafkan serta meremang bulu roma sekiranya dihayati dengan penuh perasaan. Apatah lagi sebagai sumpah pertiwi  umat Muhammad.
                     Lirik dan demo tape dari UiTM telah aku bawa ke SAMTTAR pada hari Jumaat (tarikh tidak ingat). Sepulangnya aku ke sekolah beberapa 'dedalu' yang mengesan pergerakkanku telah 'mengertak' agar aku menperdengarkan lagu sekolah yang aku bawa dari UiTM. Aku ... aku  rasa, aku telah melakukan kesilapan besar yang aku sendiri tidak dapat memaafkan diriku. Lantaran kepercayaanku kepada orang yang bergelar 'ustaz' aku serahkan demo tape dari UiTM  itu kepadanya. 
                         Pada hari Isnin jam 11.00am aku dipanggil ke pejabat pengetua. Aku menjadi terpinga-pinga apabila melihat ada 3 orang ustaz telah duduk di hadapan meja pengetua. Mereka membawa salinan lirik lagu 'Wawasan Pintar' . Setiap seorang memilikinya kecuali aku. Aku amat terkejut bagai halilintar menyambar kepala, bumi bagai gempa 8.8 Richter kerana sepengetahuanku tiada siapa yang tahu usahaku ini. Dalam duduk diam di depan pengetua dan di samping mereka, aku terfikir akan demo itu yang telah aku serahkan kepada salah seorang ustaz-ustaz itu. Bisik hatiku, tentu mereka telah mendengar lagu itu. Aku positif. Mungkin mereka ingin mengucapkan tahniah atas kerjaku.
                     Perbualan menjadi perbincangan. Perbincangan menjadi pertengkaran.  Pertengkaran dan pertelagahan kecil, menjadi sederhana , menjadi besar. Antara dialog ustaz-ustaz itu yang masih segar diingatanku  adalah...1."Cikgu telah melampaui batas..." ( saya tidak tahu apa maksud ustaz tadi) 2. ''Cikgu kenal siapa saya? saya di Jordan sangat terkenal sebagai wakil kedutaan untuk menyambut kedatangan pelajar-pelajar Malaysia, wajah saya selalu tersiar di kaca TV di Jordan, cikgu siapa nak menandingi saya" 3. ''Sebenarnya saya yang patut buat lagu sekolah bukan cikgu...kenapa cikgu potong jalan saya'' (Sebenarnya saya tidak tahu bahawa pengetua telah pun meminta salah seorang daripada ustaz-ustaz itu untuk mencipta lagu sekolah, tetapi mereka tidak lakukan setelah hampir setahun setengah diminta oleh pengetua, ...saya amat terkedu. Saya memandang pengetua mohon simpati kerana 'serangan ganas Arab Spring' ke atas diri ini. Namun pengetua membisu membiarkan aku diserang. Beliau bagaikan PBB yang tidak mampu bertindak.) 
                         Akhirnya ... demi maruahku sebagai seorang wanita yang diserang dengan kata-kata yang aku anggap tidak bermaruah oleh 3 lelaki, dan pengetua sebagai orang tengah yang pilih kasih, aku akur dengan permintaan mereka agar beberapa baris lirik ditukartambah seperti yang hari ini sentiasa dinyanyikan oleh putra dan putri SAMTTAR.    
                           Waktu itu airmataku sudah hilang malu mencurah bagai ' Victoria Fall' yang tidak dapat dibendung lagi, namun mereka tiada rasa simpati, kejam dan tidak bermaruah memohon agar lagu ini digubah atas nama mereka juga. Sayunya hati ini tidak terkira, aku rela mengundurkan nama, sebab itulah juga  lagu 'Wawasan Pintar' seolah- olah tiada pemiliknya tetapi dengan bukti-bukti ini bahawasanya aku  MUSLIMAH TASLIM adalah pemilik sebenar lirik dan lagu ini yang telah digubal sepanjang tahun 2003. Inilah sejarah besarku dan dugaanku di SAMTTAR bermula dan dalam perkhidmatan setelah aku menjadi kambing hitam di SAMUS KD (akan aku ceritakan apabila tiba masanya nanti).
                            Seminggu selepas perang hak cipta ini , pengetua memanggilku ke pejabat beliau untuk rundingan kedua dengan bertanyakan demo tape itu. Dengan rasa rendah diri aku jelaskan bahawa demo tape itu ada pada salah seorang ustaz-ustaz tersebut kerana beliau ingin mendengarnya. Beliau meminta aku mendapatkannya, tetapi malang ustaz tersebut tidak mahu mengakuinya dan menuduh aku memfitnah beliau. Aku terima tohmahan itu dan aku khabarkan kepada pengetua seminggu kemudian. Rupa-rupanya sekali lagi aku telah difitnah oleh ustaz tersebut kerana sepanjang tempoh senggang aku tidak bertemu dengan pengetua, ustaz ini telah mengadukan khabar kepada pengetua. Sekali lagi  aku dimarahi dan dicuci oleh pengetua. Hanya padaMu tuhan aku serahkan kepercayaan bahawa tangan kananku yang menghulur demo tape kepada sang ustaz di hadapan pintu dewan Mufakirin kerana bertepatan waktu usroh pun tamat pada hari Jumaat.
                    Hanya ALLAH yang maha melihat dan mendengar diriku dianiaya di SAMTTAR waktu itu.
Aku percaya kebenaran itu tetap benar walau pahit untuk menegakkan kebenarannya. Sesungguhnya tiada yang benar melainkan benar bahawa lagu dan lirik 'Wawasan Pintar adalah miliku, Muslimah Taslim.
 Gambar di atas adalah hasil setelah kertas SAMUS KD aku 'tuakan'  lantaran geram, inilah hasilnya dalam tulisan komputer. Ini  juga menjadi lirik yang direstui untuk dipanjangkan kepada Prof.Amir Syakir di UiTM. Prof Amir  jugalah  yang menggubal lagu SAM, Rawang semasa Tn Hj Mohd Zaki menjadi pengetua di Rawang. Beliau yang memperkenalkan aku kepada Prof Amir Syakir kerana beliau juga adalah Konsultan Motivasi Bahasa Inggeris. Perkenalan ini kerana Unit Kaunseling diminta mengadakan motivasi Bahasa Inggeris bermula daripada pelajar-pelajar menengah rendah (Tingkatan 1,2 dan 3). Prof Amir menjejakkan kaki ke SAMTTAR atas dua visi, motivasi dan perkenalan.
Aku berharap ini akan menjadi tulisan lirikku terakhir untuk penilaian pengetua, Alhamdulillah dapat pertimbangan dan lampu hijau untuk 'editing' sedikit di sini sana. Ini mungkin berkat kertas berlebelkan SAMUS KD ke-50 tahun, kertas terakhir yang menjadi simpananku. Logo ini adalah hasil karya anak didikku dalam Seni Lukis, iaitu Mohd Hazim.  Ulang tahun SAMUS KD yang ke-50 waktu itu, En.Mohd Zaki Rajikin adalah pengetua di situ. Kasihan ... kertas ini juga telah menjadi bahan dan mangsa aku melepaskan geram. Lihatlah wajah kertas ini yang menjadi tua kerana kedut seribu lantaran geramku.
 Dalam pertemuan dengan pengetua SAMTTAR, Sg Manggis, setelah aku menjadi salah seorang kaki tangan di situ pada 16 Mei 2002, beliau (Tn HJ Mohd Zaki Rajikin) meminta aku mencipta lagu sekolah kerana menurut beliau SAMTTAR ini gah dari luar tetapi kecil di dalamnya. Beliau meminta aku menggunakan lirik SAM.Rawang sebagai panduan agar lirik lagu sekolah yang akan digubah nanti mengandungi unsur-unsur seperti yang bertanda merah dalam gambar di atas.
  
Gambar di atas ini adalah hasil lirik yang entah ke berapa aku hasilkan dan telah aku panjangkan kepada pengetua sebulan selepas pertemuan. Pelbagai gaya pembetulan kerana kurang menepati hasrat dan citarasa beliau. Ini adalah hasil yang sempat aku selamatkan setelah yang lain aku tongsampahkan. Aku adalah aku yang akur, Mohd Zaki Rajikin adalah pemikir yang sentiasa optimis. Beliau tidak akan dapat memesrakan diri kepada sesiapa yang pernah berkata 'tidak boleh' atau 'tidak dapat'. Beliau akan menjadi peneliti dan pendendam dalam pengagihan tugas. Aku sukar untuk engkar.
 Ini cadangan seterusnya yang belum dipanjangkan, hanya dalam simpanan.

Tuesday, 24 July 2012

Cermin Sejarah

      "...lihatlah cermin untuk mengindahkan kedudukan topi kita".
          Maksud pepatah China. Cermin adalah sejarah.

Wednesday, 18 July 2012

Jangan Simpan Khazanah Melayu

Persembahkan budaya Melayu
Jangan kau malu
kelak generasimu merayu
siapa Melayu itu
malu menjadi Melayu
di mana ada budaya Melayu
Akukah Melayu itu?

Terabai, terpinggir dan dipinggir
khazanah Melayu terhilir
tanpa kearifan si mahir.

Kitab Bustan al-Salatin
mengungkap keakraban masyarakat
ritual kelangsungan adat
terisi anatomi, fisiologi dan ubat
sebuah ensaiklopedia hayat.

Etnofarmakologi Melayu
jangan hentikan auramu di situ
jangan linangkan airmata
Nuruddin al-Rarini kian derita
kitabnya tidak terbaca
rupa dan jiwa pupus binasa
Kitab Tib siapa empunya.

Jangan simpan khazanah Melayu
kelak kosong ruang susur galurmu
cerita pelaut Melayu
pembina kapal tidak berpaku
meredah gelombang berkulit kayu
generasi kini tidak ambil tahu
kerna malu menjadi Melayu
atau tidak dimaklumi itu
lantaran manuskripnya tidak bertinta biru.

Berdokumentasikah perubatan kita
ramuan mistik ramuan cinta bangsa
tinggal khazanah hafalan tua(minda)
berkubur tidak bertanda
yang di sana melambai kearifan bangsa
membela untuk ke gagang negara
biar bisa cerita
Melayu masih berperadaban mulia.

Melayu kuat akar dirinya
keperibadian Melayu terus maju
kelangsungan budaya
kelangsungan ketamadunan kita
cerita dalam rumah Melayu Melaka
ruang udara tropika
mendakap awan semesta
sayang...rangka binanya di ruang minda
kini tidak terbina
teres dan pangsa mengambil ruang
kerna khazanah ersimpan diam.

Generasiku
kapan bangkitmu untuk berjuang?

Puisi ini telah terbit di Ruang Varsiti BH 26.7.2012 (Khamis).Puisi ini terkarya setelah saya membaca dan amat tersentuh dengan rencana BH bertajuk 'Ketengahkan Khazanah Melayu Yang Masih Tersimpan'. rencana ini adalah ulasan oleh Prof Mohd Abdullah, Timbalan Pendaftar Pelajar, Naib Canselor, USM,PP. Penulis dan pembentang Kertas Kerja adalah Prof. Emeretius Dato' Mohd Ghouse Abdullah.

Putarkan Roda Itu

Putaran roda-roda itu
atas nama teksi Malaysia
bertongkat darah dan keringat
berparuh semangat dan kudrat
jangan biarkan mendarat
kelak sengsara jemput melarat.

Putaran roda-roda itu
atas doa rakyat
yang cintanya tidak tersukat
yang cintakan sepakat
mohon rahmat dan berkat.

Putaran roda-roda itu
berkeliling desa dan kota melibur tamu
hindarkan benci dan jemu
biar mereka bisa berseru
"Terima kasih Malaysia"
"Aku suka Malaysia."

Putaran roda-roda itu
menggulung ribuan geritera
merakam segala persetua
duka lara keluarga
suka derita nan meronta
menjadi saksi hilai tawa
duta bertukar duta.

Jangan hentikan putaran itu
kelak restu Illahi terbeku kaku
jangan hentikan putaran tu
kelak terputus rezekimu.

Putarkan selagi daya
putarkan dengan kudrat tua
putarkan dengan semangat waja
kerna esok dijanjikan ada
bukan dusta dongengan lama
yang membawa asyik berahi lena
hentikan tika destinasi tiba
waktu itu roda-roda tidak bermaya.

Bisakah diputar semula?

Terkarya pada 28 Jun 2012 sempena TR1M oleh PM di Stadium Bukit Jalil.


Tuesday, 15 May 2012

Kita Yang Terpilih - Guru

Terima kasih Allah
kerna Kau memilihku
kerna Kau memilihku
kerna Kau memilihku
menjadi murobbi.

Menjadi murobbi
sahsiah dicontohi
suara hati dan emosi
sentiasa dinanti-nanti
oleh anak-anak pertiwi.

Terima kasih Illahi
kuharap hati kecil ini
dapat berbakti
dapat mengerti dan dijiwai
buat membina jati diri.

Terima kasih Illahi
menjadi murobbi berpahala nanti
nurani berpending permata
nama berkesan cahaya
nesan berwangi kasturi
Al-Fathiha daripada yang sudi
Bererti lagikah murobbi seperti ini?

Terkarya pada 16 Mei 2012, jam 12.55am sempena menghargai 'aku' adalah orang yang terpilih sebagai guru. 'Selamat Hari Guru " kepada semua guru di Malaysia.

Wednesday, 2 May 2012

Kelihatan cantik impian semua insan

Embah berpesan, budi bahasa yang pertama, manis muka kedua barulah kita kelihatan cantik. Hendak lagi cantik baca doa ini ketika mula meletakkan bedak di atas muka...senang saja

 'Niat insung pupur, pupur nutupi ra'iku noleh ngiwo koyo taiko noleh nengen koyo kilat teko welas teko ashi saking kersane Allah Taala '. (Bahasa Jawa)
                             
 Barulah bedak itu diratakan seluruh wajah, Insya Allah semua orang yang memandang jatuh sayang dan ... cuba baru tahu. Saya telah mengamalkannya berpuluh tahun lamanya. Alhamdulillah Allah yang empunya kuasa. Dulu pesan embah ini apabila hendak belajar dan guna ada pengerasnya. Namun melalui maya ini pengerasnya bacalah al-Fathiha hadiahkanlah kepada empunya-empunya ilmu yang terdahulu. Amin

Saturday, 28 April 2012

Pesan Bonda buat Remaja

Remaja punya banyak tenaga
salurkan dengan berharga
vandalisme perkara biasa
jangan buat gila-gila
impaknya ke penjara.

Remaja citanya ke angkasa
semua terlarang jadi biasa
yang berpahala esok lusa
bila cedera jadi sengsara
kasihan tinggal kasihan
kebencian menjadi saudara.

Remaja tidak ingat dosa
pesanan ayahbonda disangga
gamitan rakan sangat mesra
bergaul tidak kira masa
bulan mengambang teman setia
si pungguk hairan terasa.

Remaja senang hilang dara
katanya itu dongeng indera arjuna
muda sekali rasai yang ada
perhitungan tidak pernah dikira.

Remaja teruna tinggal nama
merasa tidak terluka
tidak ada tanda
tidak ada lara
getun tidak pernah ada.

Ke pusara ada ruang taubatnya
tika remaja meniti tua
bersandar waktu dan masa.

Remaja untuk negara
bina istana cerita
bina istana jiwa
kerna jejak-jejakmu
titipan kaca
sampai waktu retak jua
derita kalbu kendungan malu
waktu itu sudah berlalu.
Bisakah kau putar waktu?

Ilham 19.3.2012 pabila tersiar berita 'remaja mati ditinggal rakan rempit, patah tangan kanan dan pecah kepala'. Namun masih ramai yang mencuba kerna remaja silih berganti. Selain itu, remaja yang tidak menggunakan keintelektualan, menjadi pengikut seperti 'babi buta' yang tidak kenal warna bahawa 'kuning itu adalah warna anugerah kerajaan China kepada Sultan Melaka tanda pengiktirafan bangsa dan negara berdaulat'. Jangan biarkan Allah turunkan bala kerana remaja nan lupa untuk menjaga maruah di dunia.

Kerbau Berlumpur

901 akan berhantu
lubuknya parkir kereta  itu
jika setuju
tambah 02 03 sabtu 284 duabelas
banyaknya gelombang dosa
semilir kota hari itu membawa cerita
'An-War' patung cendana
dipuja kerna kata dustanya
dipuji kerna tingkah nan keji
disanjung kerna sering berbohong.

'An-War'
tamatkan peperanganmu
sebagai ibu aku merayu
derhakamu hentikan di situ
jangan lagi lempar batu sembunyi tangan
betulkan lidah cabangmu
mawari hatimu dengan keinsafan
kerna keinsafan .
memberi ruang
memberi peluang
memberi jalan
untuk kau pulang.

Kemaluan keaiban hiasan kelalaian
ke pangkal jalan ibu pohonkan
jangan sampai liang memanggil pulang
kerna harimau pun tahu tinggalkan belang
jangan sampai kau ucap 
'Selamat Jalan'
kelak ruang-ruang pertembungan 
hanya hayalan berwarna
tika kau keseorangan
adakah ada yang bertandang?

Terkarya pada 8.1.2012 ketika sekumpulan 'kuning' menuntut sesuatu ... tertulis pada malam 28.4.12 kerna kumpulan yang sama ingin sekali lagi mencetuskan .... .... dalam negara. Aku amat kasihan melihatmu. Aku berdoa agar masih ada lagi kewarasan dalam benakmu. Telajak perahu boleh diundur terlajak kata buruk padahnya.

Bintang Hollywood Promosi Malaysia ( 20/4/12 BH )

"Flora dan fauna di Malaysia memang mengagumkan. Saya amat berbangga menjadi sebahagian daripada program ini buat kali kedua bersama NGC. Penonton di seluruh dunia akan dapat menyaksikan keindahan negara ini (Malaysia)".
                                                                                 Jason Scott Lee - Pelakon

( orang luar sangat mengagumi Malaysia tetapi sayang ada warga Malaysia yang sengaja mahu 'melelong' maruah negara dengan pelbagai cara ... sebagai duta kecil cubalah sedaya mungkin, angkat dan jagai nama baik negara. Jangan menepuk air di dulang terpercik ke muka sendiri )

Lagi Dua Langkah

"Terdapat prestasi turun naik, tetapi kami sudah meletakkan diri pada kedudukan yang hebat".
                                                                                Ashley Young, Penyerang United


( Visi dan misi SAMTTAR 2012 telah menepati sasaran seperti  kata-kata Ashley ... akan berterusan kah? )

Tangan Ghaib cuba halang Arif (20/4/12 BH)

"Sepatutnya saya disenaraikan beraksi di ABC dan Terbuka India, tetapi BAM beritahu mereka terlupa menghantar nama saya. Mahu tidak mahu saya terpaksa terima alasan itu''. Mohammad Arif Abdullah, pemain Badminton Remaja.


( peristiwa yang menimpa M.Arif sebenarnya berlaku kepada ramai orang di luar arena badminton ini...tidak tahu di mana silapnya atau sengaja dilakukan kesilapan itu. Aku pernah merasai situasi ini pada tahun 1999 dalam kerjayaku dalam bidang pendidikan )

Perceraian tidak patut musnahkan masa depan anak-anak - waris perkahwinan tidak boleh dizalimi (20/4/12 BH)

'Para ibu hendaklah menyusukan anaknya selama dua tahun penuh, iaitu bagi yang ingin menyempurnakan penyusuan dan kewajipan ayah memberi makan serta pakaian kepada para ibu dengan cara yang makruf. Seseorang tidak dibebani melainkan menurut kadar kesanggupannya. Janganlah seorang ibu menderita kesengsaraan kerana anaknya dan juga seorang ayah kerana anaknya dan waris pun berkewajipan demikian.'

( Surah al-Baqarah, ayat 232)

( Alangkah bahagianya mereka yang terpenuhkan tanggungjawab di atas...namun aku adalah mangsa ketidaksempurnaan itu dan juga waris yang dizalimi )

Monday, 23 April 2012

Pesan Bestari

Pesan Bestari ini sangat bererti dalam setiap saat kehidupan ini.

"Penulis tidak akan lahir secara mendadak, ada dasar di bawahnya, ada latar belakang di sebaliknya".
                                                                                        A. Samad Said
                                                                           Dalam 'Hati Muda Bulan Muda'


"Maha berkat (serta Maha Tinggilah Kelebihan) Tuhan yang menguasai pemerintahan (dunia dan akhirat) dan memanglah ia Maha Kuasa untuk tiap-tiap sesuatu".
                                                                                     
                                                                                           Surah al-Mulk,   ayat 1.

             Merujuk tajuk 'Kriteria bentuk pemimpin dihormati, bukan digeruni, BH 20.4.2012

Puisi Buat A. Samad Said SN

A Samad Said
biar kubantu jika kau sakit
biar kuampu agar kau bangkit
sakit jika tersepit
perit tak bisa menjerit.

A. Samad Said
mana hari gembiramu hari ini
kerna kau lupa bezakan
antara kembang dan layu
Rita Hamidah kau tinggalkan
Ambiga kau endahkan
kerna kau berikan
serangkai kata untuk adinda
yang mengandung mesranya malam pertama.

A. Samad Said
jika kau bisa mengadili
mana yang kau ungkap
masa lain rasa pun lain
pencuri yang tidak adil dihukum si Juita.

A Samad Said
kenangan yang jernih
jangan kau cuci bersih
kerna saputangan tanda kasih
kirimkan pada pembaca
yang dahagakan cahaya kasih mesra.

A. Samad Said
tanya bertanya pada Ambiga
Sayangkah dara padaku seorang
ketika ke daerah yang lebih kerdil
gelita kerna langit malam
tiada berbintang.

A. Samad Said
Aku menjulangmu 
dari sebuah bangunan tiga tingkat
dari tanah ke tanah
kuangkat semula
terintai kau dari tingkap sebuah bangunan
hingga seminggu
kawanku di Kelas Lima B
bersama kakaknya bersentil tembakau
menunggu di bawah pepohon Jejawi.

A. Samad Said
kau kerani besar
tintamu menyinari penantian 
malam hari raya kedua
sewaktu keretapi ke Kuala Lumpur
lahir seorang anak
perempuan dari Kampong Kambing
adalah pengalaman di sebuah rumah sakit.

A. Samad Said
di tepi jalan ini
banyak penyerahan ilmu
ada sayang di malam kelam
menanti pulang malam
malang...
Gelap malam itu
asap berkalung debar
bersimpul dalam sebuah bilik
siapa di dalamnya
sasterawan Daiman Kereko dan MP Gudu-gudu.

A. Samad Said
di tepi longkang ini
menjadi buruh paksa
kerna hati muda bulan muda
menunggu malam merangkak ke hujungnya
bersama Tamrin Gil dan Ahmad Zago.

A. Samad Said
saat terakhir
dosa pejuang tersungkur di sisi Rinda 
gelap di dakap harap.

A. Samad Said
kami yang menanti tintamu
getun tidak tersantun
mohon...
kembangkan yang layu
agar hari ini hari gembira
sebelum tinta hilang suara
kerna Salina setia menunggu
di bawah langit petang.

A. Samad Said
lupakah cerita-cerita bunda
tentang sungai mengalir lesu
hingga kau tidak tahu
ke mana terbang si burung senja
tika adik datang
didakap harap.

A. Samad Said
dalam usia berida
jangan biarkan obrolmu lara
usir beringasmu
berinda mesra itukan mulia
kerna baronganmu akan dinista.

A. Samad Said
ayahanda penulisan kita
biar kupimpin tanganmu
mari kita ke sana melihat syurga
walau hiasannya bukan permata dan sutera.

A. Samad Said
Perjuanganmu halakan ke mana?

Terilham kerana cinta sayangku pada SN A.Samad Said idola penulisan. Karya ini adalah daripada tajuk-tajuk koleksi cerpen beliau dari tahun 1954 hingga 1992 sebanyak 54 judul. Koleksi ini terselenggara oleh Dr Othman Putih (DBP). Maaf, kerna aku menyanjungmu aku tidak mampu melihat kau tersandung. Maaf, aku tidak berniat biadab sekadar mengharap suatu keajaiban baru dalam ketokohanmu sebagai pengarang besar yang memiliki 'mastercraftsman'. Seruku "Melayu bersatu, tinta penamu sakti, bilang saja satu, akan banyak yang tersentuh hati ". Semoga Allah merahmatimu. 
                    Jangan biarkan karya-karyamu menjadi KOSONG.




Sunday, 22 April 2012

Siapa yang tidak pernah jatuh?
Jatuh tangga, jatuh bangunan, jatuh pokok atau sekurang-kurangnya jatuh hati. Tapi pesan embah ini untuk mereka yang jatuh dan melihat yang jatuh bukan untuk yang jatuh hati. Terutama anak-anak kecil, apabila anak-anak ini jatuh, sila cepat beri bantuan, paling segera renjis atau siram air pada tapak atau kawasan anak-anak itu jatuh. Dengan harapan kita dapat panggil semula semangat anak-anak tadi supaya cepat pulih dan segar.Jangan lupa baca selawat ke atas nabi kita. Insya Allah penyakit tidak melarat.

Saturday, 21 April 2012

Puisi Kuda dan Kuda

Kuda oh kuda
tutup mata mengheret roda
keliling-keliling kota
mereka melihat ketawa
gembira tidak direka
lebih molek kalau kau buta
biarkan hati  berkata-kata
tanpa prasangka.

Gelanggang pantai Port Dickson
membiar cuma cuma membiar
melihat kau diperkuda
 upah ditadah tenaga diperah.

Kuda oh kuda
buat kerja yang tidak disuka
atas arahan kerja
atas arahan ketua
sampai dimamah usia
tidak kira siapa
yang penting siap kerja
apa jadi apa rupa.

Kuda oh kuda
masa bila bisa ketawa
jika kerja sampai tua.

Kuda oh kuda
remajamu mencatat nama
dewasa dayamu dinista
kerna kurang upaya.

Kuda oh kuda
sampai bila angguk kepala
demi nama ketua.

Kuda oh kuda
jasamu sering dilupa
bila pangkat tidak  di dada
bila darjat meghambat nama.
Waktu itu, siapa menjadi kuda?

Percutianku ke Pantai Port Dickson pada 9 Julai 2011 setelah hampir lapan tahun tidak ke sana membawa banyak perubahan. Kuda dijadikan tarikan pelancong untuk keliling pantai. Tetapi hatiku terusik melihat kezaliman manusia terhadap kuda. Maka tersiratlah puisi ini. Adakah aku juga boleh disamakan dengan kuda-kuda itu dalam meniti setiap detik dan waktu. Hanya tuhan yang tahu. Namun niatku satu bekerja kerana Allah s.w.t, walaupun mereka punya agenda tersirat yang barang kali tidak sengaja. Ruang-ruang kesabaran, itulah peluang melahirkan kemaafan.
 
 



 Gambar atas, aku adalah generasi ketiga Lurah Usap Kasnawi, Sebelah kiri adalah adik adikku. Waris kepimpinan. Siti Asiah  - pendidikan. Noraidah Eksekutif Kewangan dan Hartanah.


Ini adalah generasi keempat Lurah Usap. Anak-anak lelakiku yang akan meneruskan kepimpinan dalam bidang masing-masing. Ciri-ciri etno Jawa mulai pudar daripada wajah-wajah kesayangan ini. Kehadiran insan di maya ini membawa keunikannya yang tersendiri. Hargai diri kalian dengan kesyukuran. Sampaikah waktuku untuk melihat generasi seterusnya? Akan saling mengenalikah mereka dalam cabaran-cabaran kehidupan? Isilah ruang-ruang kehidupan ini dengan kebajikan.

Album Kenangan


 Lurah  Hj Usap Kasnawi dan Hjh Aminah Rajadikrama,                 Ketua Kampong Pertama, Kg Sungai Kelambu, Generasi Pertamaku. Di sebelah kanan adalah Generasi Kedua  yang tinggal daripada lima lelaki. Yang di depan kiri telah meninggal pada 22.Mac 2012. Semoga dicucuri rahmat ke atas rohnya.Amin.
Ini adalah generasi kedua perempuan yang masih cukup tiga orang. Salah seorang di antaranya adalah ibuku yang tercinta. Kedua bongsu duduk sebelah kanan sekali. Semoga sihat selalu dan bahagia mengharungi senja kehidupan.
 Semasa perhimpunan keluarga besar Usap Kasnawi, suasana yang amat menyentuh kalbu adalah majlis doa ini. Lihat dengan tidak sengaja gambar ini memaparkan tinggal lima orang sahaja. Seolah-olah ketentuan buat salah seorang abang ibuku telah tercatat. Hanya Allah yang maha tahu.
Astahfirullah al-Azim...Subhanallah.
Kuatkanlah mereka yang tinggal sebagai sumber kekuatan dalam persaudaraan.Amin.




Sunday, 15 April 2012

Aku ingat pesan embahku masa dulu. Kalau terasa hendak kencing atau buang air besar semasa dalam perjalanan, tidak dibenarkan membuangnya di jalanan. Masa itu tiada RnR. Embah dan ibuku menyuruh aku menggenggam tangan dengan menyorokkan ibu jari (jempol) kemudian baca selawat tiga kali dan tiup pada bahagian ibu jari yang tersorok itu. Jangan buka sehingga sampai destinasi yang ditujui. 
Insya Allah dengan izinNya keinginan untuk membuang akan hilang. Aku praktikkan kepada anak-anakku, alhamdulillah berhasil. Kepada anak-anak yang belum pandai berbuat demikian, ambil saputangan dan simpul salah satu bujunya, baca selawat tiup pada simpulan itu, masukkan dalam poket seluar atau baju anak-anak kita. Apabila sampai di destinasinya bukalah simpulan itu. Harap jangan terlupa dan tercicir. Begitulah sebagai ibu bapa mesti perihatin pada anak-anak. Memakai lampin memang mudah tetapi melekakan kita dalam pertangungjawaban terhadap anak-anak. Selamat mencuba dengan yakin. Insya Allah jimat belanja.  
"...mengingati kembali sejarah yang hilang adalah satu usaha
 yang mulia dan mempunyai nilai yang tersirat".

"Pencarian identiti yang tulen harus didasari nilai-nilai 
seperti keadilan dan kesaksamaan". 

"Kejahiliahan yang tersusun rapi hanya boleh diatasi 
oleh kebenaran yang terserlah dan mengeluarkan sinar cahaya
 yang menerangi alam semesta".

(Dr Ghazaly Abdul Wahab, dalam kertas kerjanya "Sejarah dan Pembangunan Jati Diri ) 

Adilkah Keadilan

Keadilan retorik kata
sukar dikota
kerna di dalamnya ada dusta
kerna di dalamnya ada dilema
cerita demi cerita.

Keadilan sukar dianalisa
permainan si pendosa
dalam tiap bicara
kosa kata itu berbisa.

Letaklah keadilan di tempatnya
tentu hidup akan bahagia
sadis-sadis tidak bahaya
diredah gembira.

Berilah keadilan pada haknya
tidak akan curiga
terbangkit percaya
hati nuraga akan bercahya
membina saudara
membina jagat mulia
terkubur sengsara
bahagia bual bicara.
Masih adilkah kita?

Luahan rasa tidak puas hati atas cara pengadilan puisi pada 12 April 2012 di SMK B.Banting. Ini terkarya bagi memujuk hati sendiri kerna tiada siapa bisa menjawabnya. Pertandingan berbentuk suara perlu dirakam bagi mengulangdengar jika ada bantahan. Tetapi hari itu, rakaman tidak ada bagaimana aku mampu mempertahankan pelajarku. Aku hadir dengan matahati yang yakin dan segar. Aku mendengar dengan jelas setiap persembahan, kerna aku tidak tuli dan aku tidak buta, malangnya pelajarku menjadi mangsa ketidakadilan kerana suara tidak dapat diperdengarkan lagi. Atau kerana iri hati dan benci. Allah yang mengerti.

Aku Belajar Mengerti

Aku belajar lagi
melihat rias-rias benci
jelingnya bahasa caci
emosiku mati.

Aku belajar lagi
terpandang rias itu 
hatiku mati
itukah benci?

Aku belajar mengerti
jauh membawa diri
agar tidak menjeruk hati
membina motivasi.

Aku belajar mengerti
kenapa aku harus menyepi
meminggir diri
dalam ladang berduri.

Aku belajar lagi
membuang busuk hati
agar bila ku mati
hilang semua rasa benci
hilang semua rasa iri
aku tidak menyaingi dia lagi.

Aku belajar lagi
cara menggamit hati
senyum hingga terlihat gigi
harap-harap ada yang sudi
sambut ukhwah ini
ruang menyemai budi.

Belajar itu sakit
mengerti itu sakit
aku tersepit
antara belajar mengerti yang pahit.
Terubatkah kebencian ini?

Terkarya pada 12 April 2012, jam 10.45am di SMK Bandar Banting, ketika aku gembira dapat bersua semua rakan lama, tetapi antara mereka ada satu yang aku tidak tahu apa salahku padanya, setiap perhimpunan atau perjumpaan yang berlaku antara aku dan dia, emosiku menjadi mangsa. Hati ini tidak dapat dibohongi. Ya Allah, ampuni dia kiranya dia salah sangka padaku. Ya Allah, ampuni aku kiranya aku salah anggap kepadanya. Hargai dia, hargai aku selagi kami bernyawa.

'Selamat Bersara buat Kak Zaiton Hamid'.
 Bersara dari tugas rasmi tidak bererti bersara daripada kehidupan yang indah ini. Kehidupan adalah perkhidmatan. Perkhidmatan adalah ibadah. 'Bekerjalah kamu seolah-olah kamu akan hidup selamanya, beribadatlah kamu seolah-olah kamu akan mati esok'. Ini bererti kita sebagai hambaNya perlu seimbang dalam pengurusan hidup kerana masa adalah penentu segalanya.
Jangan padang kami bertiga sebagai fokusnya tetapi cuba lihat latar belakang kami, replika kapal korek bijih timah, jentera yang banyak mengeluarkan isi bumi di Perak dan di Timah Langat Selangor. Alam menjadi mangsa kerakusan manusia. Namun manusia perlukan alam untuk perjuangan kehidupan. Kita saling memerlukan. Yang penting jangan tamak haloba hingga milik orang menjadi milik kita.
'Harga Sebuah Maruah' sebuah teater yang sebenarnya dilakonkan dalam kehidupan manusia. Berapa harga kehidupan kita? Berapa harga maruah kita? Hanya keimanan yang dapat menjawab persoalan ini. Harganya di tangan sendiri sama ada kanan atau pun kiri. Allah yang mengadilinya.
Galeri Mahathir menjadi saksi, aku dipercayai untuk menjadi pengadil pertandingan 'cerita tentang tokoh negara'. Kepercayaan sangat mahal harga dan nilainya. Namun menjadi pengadil amat sukar ditafsir gundah gulananya. Adilkah aku? Begitu sukarnya menentukan keputusan. Allah jua yang memiliki keadilan sebenar.
 Bersama Prof.Lim Swee Ting selepas pengadilan Deklamasi Puisi Remaja di DBP Okt 2011, Beliau adalah contoh warganegara dan pencinta seni budaya Melayu. Karya-karya beliau menggambarkan rasa cinta yang ikhlas terhadap negara. Warna tidak menjadi pemisah bicara kata. Keluhuran membuat dirinya bernuansa.

Thursday, 12 April 2012

"Since it was published, 
the SEJARAH MELAYU has rightly been considered
the most important Malay historical work".

(Prof. Dr. R. Roolvink, The Variant Versions of the Malay Annals,BKl, 1967)
 
 

"The work,
commonly known as THE MALAY ANNALS,
is the most famous,
distinctive and best of all Malay literary works".
  
(Sir Richard Winstedt, A History of Classical Malay Literature, 1969)
 
 
 
"SEJARAH MELAYU, karya sejarah teragung dalam
kesusasteraan klasik Melayu".
 
(Teuku Iskandar, Kesusasteraan Klasik Melayu Sepanjang Abad, 1995)



"Dengan tiada syak lagi,
bahawa di antara perpustakaan lama Melayu,
buku SEJARAH MELAYU, 'Sulalat'us-Salatin'
inilah yang terpenting dan tertinggi mutunya 
daripada yang lain-lain ... Pengarang atau
penyusun buku SEJARAH MELAYU itu nyatalah
seorang yang berpengetahuan dan bijak dalam 
ilmu karang-mengarang,
kerana dapat ianya menggambarkan 
keadaan-keadaan pada suatu zaman ..."

(A. Samad Ahmad, Sejarah Kesusasteraan Melayu II, 1965)
"Pendeknya, di sini kita berhadapan dengan sebuah ciptaan seni.
Dalam sifatnya seperti itu,
dan tidak pula kurang sebagai sumber pengetahuan sejarah,
kebudayaan dan ilmu sosiologi masyarakat Melayu lama,
SEJARAH MELAYU berhak meminta perhatian sepenuhnya ..."

(T.D. Situmorang dan Prof. Dr. A. Teeuw. (ed.) Sejarah Melayu 1952
"Hubaya- hubaya, dengarlah olehmu hai segala orang Melayu. Barang siapa 
yang mendapat kitab (SEJARAH MELAYU) ini, maka janganlah engkau tolakkan
 atau engkau bantahi akan kitab yang serupa ini, kerana rupanya terlalu lain 
daripada yang engkau biasa melihat dan membaca ... supaya bertambah-tambah
 akalnya dan ilmunya, adanya".

(Abdullah Munsyi bin Abdul Kadir Munsyi, (ed.), Sejarah Melayu, 1831