Ini adalah lirik yang mendapat 'restu' pengetua hasil usahaku dalam beberapa pertemuan dengan Prof. Amir Syakir di UiTM, Shah Alam setelah disuaipadan dengan gubahan muzik daripada miming suaraku sendiri. Demi 'Wawasan Pintar' aku berkorban masa dan wang ringgitku sendiri. Namun aku memiliki kepuasan yang tidak terhingga walaupun ramai 'dedalu' yang ingin menumpang nama. Prof. Amir Syakir memohon kemaafan kerana terpaksa membuang beberapa baris lirik demi keindahan lagu ini. Beliau menerangkan gubahan lagu telah dibuat oleh para pelajar UiTM daripada fakulti 'Arts and Design' yang sebahagiannya menjadi ahli In-Team (waktu diperkenalkan kepadaku hanya menggunakan nama anak-anak didik Hijjaz-UiTM). Prof. Amir sangat memuji korus lagu 'Wawasan Pintar' yang dikatakan sangat baik dan menginsafkan serta meremang bulu roma sekiranya dihayati dengan penuh perasaan. Apatah lagi sebagai sumpah pertiwi umat Muhammad.
Lirik dan demo tape dari UiTM telah aku bawa ke SAMTTAR pada hari Jumaat (tarikh tidak ingat). Sepulangnya aku ke sekolah beberapa 'dedalu' yang mengesan pergerakkanku telah 'mengertak' agar aku menperdengarkan lagu sekolah yang aku bawa dari UiTM. Aku ... aku rasa, aku telah melakukan kesilapan besar yang aku sendiri tidak dapat memaafkan diriku. Lantaran kepercayaanku kepada orang yang bergelar 'ustaz' aku serahkan demo tape dari UiTM itu kepadanya.
Pada hari Isnin jam 11.00am aku dipanggil ke pejabat pengetua. Aku menjadi terpinga-pinga apabila melihat ada 3 orang ustaz telah duduk di hadapan meja pengetua. Mereka membawa salinan lirik lagu 'Wawasan Pintar' . Setiap seorang memilikinya kecuali aku. Aku amat terkejut bagai halilintar menyambar kepala, bumi bagai gempa 8.8 Richter kerana sepengetahuanku tiada siapa yang tahu usahaku ini. Dalam duduk diam di depan pengetua dan di samping mereka, aku terfikir akan demo itu yang telah aku serahkan kepada salah seorang ustaz-ustaz itu. Bisik hatiku, tentu mereka telah mendengar lagu itu. Aku positif. Mungkin mereka ingin mengucapkan tahniah atas kerjaku.
Perbualan menjadi perbincangan. Perbincangan menjadi pertengkaran. Pertengkaran dan pertelagahan kecil, menjadi sederhana , menjadi besar. Antara dialog ustaz-ustaz itu yang masih segar diingatanku adalah...1."Cikgu telah melampaui batas..." ( saya tidak tahu apa maksud ustaz tadi) 2. ''Cikgu kenal siapa saya? saya di Jordan sangat terkenal sebagai wakil kedutaan untuk menyambut kedatangan pelajar-pelajar Malaysia, wajah saya selalu tersiar di kaca TV di Jordan, cikgu siapa nak menandingi saya" 3. ''Sebenarnya saya yang patut buat lagu sekolah bukan cikgu...kenapa cikgu potong jalan saya'' (Sebenarnya saya tidak tahu bahawa pengetua telah pun meminta salah seorang daripada ustaz-ustaz itu untuk mencipta lagu sekolah, tetapi mereka tidak lakukan setelah hampir setahun setengah diminta oleh pengetua, ...saya amat terkedu. Saya memandang pengetua mohon simpati kerana 'serangan ganas Arab Spring' ke atas diri ini. Namun pengetua membisu membiarkan aku diserang. Beliau bagaikan PBB yang tidak mampu bertindak.)
Akhirnya ... demi maruahku sebagai seorang wanita yang diserang dengan kata-kata yang aku anggap tidak bermaruah oleh 3 lelaki, dan pengetua sebagai orang tengah yang pilih kasih, aku akur dengan permintaan mereka agar beberapa baris lirik ditukartambah seperti yang hari ini sentiasa dinyanyikan oleh putra dan putri SAMTTAR.
Waktu itu airmataku sudah hilang malu mencurah bagai ' Victoria Fall' yang tidak dapat dibendung lagi, namun mereka tiada rasa simpati, kejam dan tidak bermaruah memohon agar lagu ini digubah atas nama mereka juga. Sayunya hati ini tidak terkira, aku rela mengundurkan nama, sebab itulah juga lagu 'Wawasan Pintar' seolah- olah tiada pemiliknya tetapi dengan bukti-bukti ini bahawasanya aku MUSLIMAH TASLIM adalah pemilik sebenar lirik dan lagu ini yang telah digubal sepanjang tahun 2003. Inilah sejarah besarku dan dugaanku di SAMTTAR bermula dan dalam perkhidmatan setelah aku menjadi kambing hitam di SAMUS KD (akan aku ceritakan apabila tiba masanya nanti).
Seminggu selepas perang hak cipta ini , pengetua memanggilku ke pejabat beliau untuk rundingan kedua dengan bertanyakan demo tape itu. Dengan rasa rendah diri aku jelaskan bahawa demo tape itu ada pada salah seorang ustaz-ustaz tersebut kerana beliau ingin mendengarnya. Beliau meminta aku mendapatkannya, tetapi malang ustaz tersebut tidak mahu mengakuinya dan menuduh aku memfitnah beliau. Aku terima tohmahan itu dan aku khabarkan kepada pengetua seminggu kemudian. Rupa-rupanya sekali lagi aku telah difitnah oleh ustaz tersebut kerana sepanjang tempoh senggang aku tidak bertemu dengan pengetua, ustaz ini telah mengadukan khabar kepada pengetua. Sekali lagi aku dimarahi dan dicuci oleh pengetua. Hanya padaMu tuhan aku serahkan kepercayaan bahawa tangan kananku yang menghulur demo tape kepada sang ustaz di hadapan pintu dewan Mufakirin kerana bertepatan waktu usroh pun tamat pada hari Jumaat.
Hanya ALLAH yang maha melihat dan mendengar diriku dianiaya di SAMTTAR waktu itu.
Aku percaya kebenaran itu tetap benar walau pahit untuk menegakkan kebenarannya. Sesungguhnya tiada yang benar melainkan benar bahawa lagu dan lirik 'Wawasan Pintar adalah miliku, Muslimah Taslim.
|
No comments:
Post a Comment