Setelah setengah abad kehidupan ini aku lalui, banyak kenangan yang telah aku tinggalkan.Yang muda menjadi tua, yang hidup meninggal dunia. Suatu hari nanti aku juga akan memenuhi suratan Illahi.
Dalam meniti kehidupan ini banyak cerita yang ingin aku kongsi. Semoga anak-anakku nanti kenal akar diri, dapat menyanjung dan memuji kiranya ada jasa baktiku. Harap dapat menyimpan keji hina yang telah aku lalui. Semoga semuanya ini akan dijadikan sejarah sempadan dan tauladan. Jika aku membesar dengan kenangan zaman 50-an dan 60-an, anak-anakku akan mengharungi alaf 21,22 dan juga 23 yang sangat mencabar.
Sungguhpun cabaran kita berbeza, kita tetap ciptaanNya yang bijaksana. Sesuaikan mana yang ada bagai masuk kandang kambing mengembek dan jadilah harimau di kandangnya. Penyamaran akan membuat kita derita. Jika ular bersalin kulit untuk menjadi dewasa...aku berganti cerita untuk menjadi kuat, tabah dan berjaya mengharungi guruh di hati, gelombang dalam jiwa. Itulah kehidupan. Langkahku akan kuteruskan jua.
Hari ini 16 Disember 2012, bertambah setahun lagi perjalanan hidupku. Aku tidak gentar melaluinya kerna itu hanya angka. Aku hanya gentar pabila sewaktu-waktu Allah menjemputku. Cukupkah persiapanku.
Inilah ceritaku...memoriku yang ingin aku titipkan untuk anak-anakku yang tersayang, untuk orang-orang yang menyayangiku, kiranya aku ada di hatimu.
Zaman kanak-kanakku zaman tidak berlampu seperti hari ini. Pelita minyak tanah adalah teman setia apabila malam menjelma. Jam 5 petang bapaku mesti mengingatkan aku dan adikku, Asiah agar cepat membersih diri di kolam. Kolam di belakang rumah, rumah embahku: embah Mail dan Mentek, sebelah bapaku di kg Sungai Kelambu. Air kolam yang sejuk di permukaannya hangat setelah badan direndam tenggelam hingga paras leherku. Kini baru aku terfikir kenapa mesti mandi jam 5 petang: air kolam berwarna coklat kehitaman...jika semakin petang semakin tidak kelihatan kerana hari semakin gelap. Itulah air tanah gambut. Kolam mandi dipagari pokok-pokok ubi dan pokok sesudu sebagai pagar-pagar sayang dan perlindungan. Tangga untuk turun ke dalam kolam dibuat daripada dahan kayu yang tahan air tetapi tidak licin macam batu mar-mar hari ini. Setiap kali kami mandi, dengan penuh rasa tanggungjawab dan kasih sayang, bapaku akan menemaniku di pintu pagar pokok ubi dan sesudu. Sabun, aku tidak kenal sabun waktu itu yang ada hanya berus sabut yang dikoyak daripada kulit kelapa secara semerta jika hendak mandi. Itulah barang kali sabunku. Bapaku akan menghulurkan kain batik lusuh berbelah dua sebagai tuala setelah dia pangggil untuk naik daripada berendam di kolam. Itulah tuala yang aku ada, sejak aku dilahirkan kain-kain batik lusuh milik ibuku, milik embahku atau mungkin siapa saja akan dijadikan lampin dan barut, untuk emban dan apa saja keperluan waktu itu, dengan alasan kain itu sudah lembut baik untuk kulit bayi. Tetapi sebenarnya...itulah zaman kelahiranku, miskin? susah? atau ... Malaysia baru 2 tahun merdeka, kedai dan butik tidak ada untuk menunggu kelahiran cahayamata tercinta. Namun kasih sayang ibu dan bapaku tetap 100% tidak berbelah bagi.
Setelah bersiap diri dan makan malam: nama makan malam tapi masih jam 6.30 petang sebelum Maghrib, itulah disiplin bapaku. Displin etnik Jawa, pesan bapaku agar lancar pabila mengaji dan belajar serta tidak mudah mengantuk. Itulah yang aku sering dengar pada hari ini, pakar motivasi dan kesihatan diri menyarankan agar tidak makan pada waktu malam. Rupanya betul cakap bapa dan embahku. Makan malam yang sebenarnya malam akan menggemukkan badan. Aku telah praktikkan cara ini lama dulu cuma tidak meneliti dan tidak ambil pusing. Petua ini terabai...akibatnya kini aku melebihi BMI diri.
Oleh kerana aku tinggal dengan embahku, lantaran ayahku adalah anak kedua dan merupakan anak lelaki pertama, embah sangat sayangkan bapaku seperti bapaku sangat sayangkan aku kerana aku anak pertamanya. Lepas solat Isyak, embah akan memasang kelambu di biliknya begitu juga bapaku memasang kelambu di biliknya. Tetapi aku dan adik akan tidor dengan embah. Embah akan bercerita, bercerita dan bercerita hingga aku tertidur. Cerita embah yang masih segar diingatanku adalah cerita tentang seksaan Allah...antara lirik irama lagu Jawa itu
eleng-eleng siro menuso, urip ojo ngawe thoso, anger mati melbu neroko...dan lirik lagu ini
iki jentik iki jempol, hantu legi untunee gedi...turu kene ojo ngompol, ngenko mati thathe mehti...
lagu ini dinyanyikan sambil embah membilang jari-jemariku, aku lena terbelai manja. Nasihat ini mengajak aku agar jangan jadi derhaka. Derhaka itu berdosa. Banyak dosa tempatnya di neraka membuat aku sangat menghormati ibu bapaku dan embah-embahku. Aku sayang ibuku. Aku sayang bapaku. Aku sayang embah-embahku. Nasihat kedua...embah kata jika tidur dengan embah jangan kencing malam, jika kencing dalam tidur jadi hantu gigi besar. Maka aku pun sentiasa berjaga-jaga untuk tidak terkencing atas kasur yang tidak empuk sebab diperbuat daripada kekabu dan sabut kelapa. Jika aku terasa hendak kencing, aku akan kejutkan embah. Kami turun ke bilik air yang jauh di belakang rumah berdekatan kolam: jaraknya hampir 500 meter ukuran sekarang, bayangkan dalam cahaya samar pelita minyak tanah. Pabila dah moden sikit embah beli lampu suluh, jauh belinya di Kg Baru, K.Lumpur dan satu lagi beli di Singapura. Tentu pembaca pelikkan...nanti saya cerita lagi dunia kanak-kanakku.
No comments:
Post a Comment