Jam 4am, 19 Mei bersamaan Rejab aku dikejutkan dengan perkhabaran kematian anak jiranku. Jiranku ini adalah juga kawan sekolahku semasa di sekolah SK Sg Lang. Dia juga bersaudara denganku dengan pangkat dua pupu. Zakiah, Zakiah nama kawanku ini.
Caca begitu nama anak kawanku yang meninggal dunia. Kematiannya amat mengejutkanku. Aku sangat terkejut dan seakan tidak dapat menerima perkhabaran ini. Aku mengaku jarang bersua dan bertegur dengan Caca kerana rumahnya di baris belakang manakala rumahku di baris hadapan. Caca yang sering melintasi rumahku.
Hari Jumaat 17 Mei, jam 3.30 petang, aku berkereta kerana ada sedikit urusan di LHDN. Dalam perjalanan ke situ di simpang depan taman perumahanku TDJ sebelum melintas jalan, Caca yang menunggang motosikal berhenti betul-betul tepat setentang denganku. Ketika dia menoleh ke kiri aku pula menoleh ke kanan, di situlah aku tepat memandang wajahnya. Kami berbalas senyuman, senyumannya yang terakhir buatku. Allah Maha Agong meninggalkan kenangan buatku tanpa kuduga.
Hari Ahad 19 Mei jam 8.30 am aku bergegas ke rumah Zakiah untuk memberi penghormatan terakhir kepada Caca. Walau pun sepanjang hayatnya aku tidak berkesempatan bermesra sepatutnya sebagai jiran, sebagai saudara malah sebagai kawan kepada ibu Caca. Setibanya di perkarangan rumah Zakiah, telah ramai orang bersiap sedia. Kaum lelaki telah siap sedia untuk solat jenazah, manakala jenazah sedang dimandikan. Aku tidak mendapat ruang untuk melihat jenazah ketika dimandikan tetapi dalam hatiku aku mesti melihat upacara mengkafan. Aku segera mencuri ruang masuk ke dalam ruang persediaan mengkafan. Aku duduk bersama-sama mereka yang sedang diberi amanah dan tugasan fardu kifayah. Aku menolong mana yang patut sambil menyaksikan setiap langkah mengkafan jenazah hingga selesai. Puas aku dapat menatap wajah Caca buat kali terakhir.
Tiba detik akhir yang sangat syahdu...sebelum wajah mayat ditutup, si ibu, Zakiah dipanggil untuk menyentuh dan mencium buat kali terakhir diikuti adik beradik yang lain dan rakan-rakan sekelasnya dari SMKBB. Ayah Caca, Zakuan adalah orang terakhir menciumnya. Petugas pun menutupi wajah Caca dengan kapas berkasturi. Siap dikafan si ibu diminta menyirami air mawar di atas sekujur tubuh berbalut kain putih disaksikan ratusan mata yang bergenang air mata. Namun aku...aku tidak tahu kenapa aku tidak tersentuh atas kesyahduan itu. Selesai solat jenazah dan van bergerak perlahan ke destinasi istirehat dunia buat Caca.
"Selamat tinggal mak, Selamat tinggal ayah serta saudara sekalian".
"Buat teman-teman, jangan tangisi aku". mungkin itukah yang diucapkan olehmu Caca.
" Mak, ayah, kakak dan adik-adik...aku akan bertemu dengan abang". Itukah yang mungkin Caca ucapkan kerana abang Caca telah juga pergi 7 tahun yang lalu dalam lingkungan usia Caca 16 tahun. Zakiah dan Zakuan telah kehilangan dua orang anak remaja.
Kematian Caca memang sangat mengejutkan kerana dia tidak kemalangan dan tidak pernah sakit terlantar seperti arwah Hafiz abang Caca. Dalam surat laporan kematiannya tercatat Hypo critical brain damage. Caca, pada petang Jumaat itu rupanya untuk pergi menghadiri kelas tusyen di Banting. Ketika dalam kelas ini dia mengadu kepada rakannya sangat sakit kepala yang tidak tertanggung lalu minta izin untuk ke tandas tetapi tidak sempat ke tandas lalu rebah. Rasa tanggungjawab guru kelas telah menghantarnya ke hospital Banting lalu dihantar ke hospital Klang lantaran kritikal dan koma. Di Klang doktor meminta Zakiah dan Zakuan merelakan takdir Illahi. Janji Illahi tepat pada waktunya, sedetik pun tidak dapat kita ingkari.
Aman dan bahagialah kamu di sana, Caca. Maafkan aku kerna tidak sempat bermesra denganmu.
Semoga Allah melimpahi rahmat buatmu.
Hari ini juga, kawanku Cikgu Samsuri yang bertugas di SMK Sijangkang Jaya juga meninggal dunia pada usia 48 tahun. Persahabatan yang begitu singkat antara aku, dia dan suamiku amat mengesankan kerana cikgu Samsuri seorang yang amat bersahaja dan sering berjenaka. Perwakannya yang tampan berkulit putih mulus, tinggi dan gagah, sekali pandang orang akan melihatnya sebagai berketurunan portugis tetapi dia adalah Jawa tulen apabila bertutur, loghat pertuturannya itu membuktikan Samsuri adalah Jawa.
Selamat tinggal temanku antara kita sudah berbeza perjuangan namun aku akan ke sana apabila sampai janji Illahi. Maaf, temanku, hanya al-Fathiha yang dapat aku kirimkan kerana aku dan suamiku tidak berkesempatan menziarahimu buat kali terakhir lantaran perkhabaran yang aku terima bersamaan situasi kejirananku. Semoga Allah menempatkanmu di tempat yang indah dan terpuji. Amin.
No comments:
Post a Comment