Pages

Thursday, 31 January 2013

Aku Yang terpilih

Tiga puluh lima tahun dahulu  aku hanyalah seorang budak yang pendiam dan mungkin dalam kategori pemalu. Mungkinkah itu aku atau kerna latar belakangku. Waktu itu aku hanya mengikut kawan-kawanku. Tetapi aku tidak ada kawan yang menjadi sahabat seperti sahabat-sahabat Muhammad s.a.w. Aku juga tidak mahu ada sahabat pada waktu itu kerana situasi keluargaku.Waktu itu tidak ada guru bimbingan dan kaunseling yang dapat membimbing dan memberi tunjuk ajar kepadaku. Aku hanya tahu tentang kerjaya yang berlegar di depanku, iaitu guru dan doktor.
                        Guru... sebab ramai guru yang mengajarku semuanya sangat baik dan mengambil berat, walau pun ada di antara mereka itu berbangsa Cina dan India. Mr.Arumugam, Mr Pillai, Mr Charles Bronsuns, Mr Gunting, Mr Cheah, Mr Lum, Mr Sundrapan, Mr Subramaniam, Mrs See, Pn.Rajah dan Pn Lim sekadar nama-nama indah yang masih segar dalam ingatan. Wajah mereka masih sering terbayang, lenggok bicara kata mereka masihku ingat lagi. Tawa dan gurau mereka masih kuingat lagi. Teguran mereka kini menjadi permata...buatku dewasa. Mencubit, memukul, menengking, mengherdik...ah! menjadi kebiasaan yang tidak dirancang. Maksudku...cikgu akan tiba-tiba menjadi sangat marah apabila ada salah seorang daripada rakan-rakanku membuat salah atau erti kata lain, menyakiti hati cikgu.
                      Aku masih ingat lagi...suatu hari di SMJK(I) Sg Manggis, aku dalam tingkatan 2. Tingkatan 2 adalah kelompok remaja yang sangat mencabar kerana lingkungan umur ini mereka tidak takut mati, suka mencabar dan dicabar. Masih mencari identiti diri. Mahu jadi 'Siti', mahu jadi 'Hafiz' atau 'Black' atau 'Yuna'. Tapi ... bukan nama-nama itu pada era 70-an. Emilia Contesa, Hail Amir, Uji Rashid dan beberapa nama evergreen hingga hari ini termasuk Dato' Sharifah Aini.
                       Bukan nama-nama ini yang akan aku ceritakan di sini. Aku mahu cerita tentang kawanku Mahmuddin dan Sadali serta Mr Pillai dan Mr Cheah. Huh...hebat, kawan-kawanku ini. Jika insiden ini terjadi zaman ini (2013) aku kira akulah yang akan jadi saksi pertama untuk turun naik mahkamah.
                       Begini ceritanya...
                       Mahmudin adalah kawan sekampongku, aku belajar di sekolah rendah yang  sama iaitu Sek.Kebangsaan Sg Lang. Dialah satu satunya kawanku yang OKU. Hari ini masyarakat kata Orang Kurang Upaya. Dia tempang kerana kaki...aku sudah tidak pasti yang sebelah mana, cacat. Jalannya tempang, selalu tertinggal apabila kami berlari, tapi dia hanya ketawa jika kami usik." Asyik kau aje yang tertinggal". Din maafkan aku, aku tahu sebenarnya kau memendam rasa, kau sedih kan, bila kami kata begitu. Maafkan kami kerna kami tidak menjadi kamu,  kerna kami alpa akan ciptaan tuhan. Aku tahu kau marahkan kami tetapi apa dayamu untuk membalasnya, dayamu tidak mampu berbuat begitu. Aku juga tahu kau marahkan kami. Maafkan kami, Din. Maafkan kami, Din.
                       Hari itu, masih segar dalam ingatanku. Dalam jadual waktu tercatat mata pelajaran 'Arts'. Guru yang mengajar Mr Pilai. Tidak tahu mengapa...hari kejadian itu Mr Pilai macam kurang sihat, selsema dan sedikit batuk. Kami dalam kelas sedikit riuh hingga terlewat untuk mengucapkan 'Good Morning, teacher'. Angin sepoi-sepoi bahasa bertukar menjadi ribut taufan. Setelah kami memberi ucapan selamat, kami tidak dibenarkan duduk tetapi Mahmudin telah terduduk. Aduh... dalam hatiku, tentu Mr Pilai akan terus mengamuk nantinya kerana ada murid yang tidak patuh arahannya.
                       Dalam kelas Mahmudin duduk di depan sekali, depan meja guru sebelah dalam, tepi tingkap naco. aku sudah tidak ingat dia duduk dengan siapa...rasa-rasa dengan Lim Boon Hing, seorang pelajar Cina dari Jenjarom. Meja aku di belakang tempat Din duduk. Aku duduk bersama Malika dari estet Brookland sekarang namanya Bandar Mahkota. Sekolah aku sekolah pelbagai bangsa. 1 Malaysia dalam konsep hari ini. Kami memang baik dan mesra tidak pernah terfikir 'kau siapa'. Bergaul sebagaimana kanak-kanak hari ini. Main bersama makan bersama. Aah...indahnya waktu itu.
                        Oh ye...Din. Kawanku Din. Pabila dia terduduk, dengan susah payah dia cuba bangun tapi tidak upaya lantaran fizikalnya itu. Dia dituduh tidak patuh dan melanggar disiplin. Mr Pilai dengan marahnya meminta kami duduk tetapi meminta Mahmudin berdiri . Din berdiri seorang. Kami tengok dengan rasa simpati. Atas rasa tidak puas hati, Mr Pilai  menyoal Din.
                     "Kamu tak faham arahan saya?"
                     "Kamu cuba kurang ajar dengan saya?"
                     "Macam tu laa kamu melawan cakap mak kamu?"
Mr Pilai bernada tinggi memarahi Din dalam Bahasa Inggeris. Kami terdiam. Din juga hilang sabar, darah muda. Soalan ketiga Mr Pilai membuat Din juga angin. Din cuba menerangkan...baru sahaja mulutnya berkata "Sir.." dengan nada sedikit tinggi, Mr Pilai secepat kilat melepaskan tamparannya. Tepat. Ye...tepat tamparan itu hinggap di pipi kiri kawanku. Kepala Din tertolak dengan cepat sepantas kilat terkena cermin naco. Prang...kaca naco tingkap pecah. Kami terkedu. Aku terkaku. Din cuba menegakkan badannya agar tidak terus dimarahi kerana dia tidak mampu menjelaskan kenapa dia terduduk tadi.
                      Din dengan gagah terus berdiri, aku di belakangnya sudah terasa menggeletar. Aku memandang Malika dan Boon Hing. Mr Pilai meminta kami mengeluarkan kertas lukisan. Kami akur. Aku tetap memerhatikan Din yang sedang berdiri sebab Mr.Pilai tidak izinkan dia duduk. Din terhukum.
                      Tiba-tiba Boon Hing, menjerit. "Sir, Sir..." Mr Pilai mendekat. Alangkah terkejutnya Mr Pilai melihat darah banyak mengalir dari kepala Mahmudin, baju putihnya sudah menjadi merah. Dengan cemas dan kelam kabut dia mengeluarkan sapu tangannya yang berwarna biru air dari poket seluarnya lalu menekap darah di kepala Mahmudin. Mahmudin luka kena kaca. Inilah insiden yang sangat menyentuh hatiku...apabila Mr Pilai meminta maaf, bersungguh-sungguh, beriya-iya dia minta maaf sambil mengelap-lap darah itu. Namun darah merah tetap mengalir. Mahmudin hampir pitam lalu Mr Pilai membawanya ke klinik. Aku mengeletar sebab darah Din ada yang terpercik ke mukaku tetapi aku tidak berani berkata apa-apa. Kami semua tidak berani. Tidak tahu sama ada atas rasa hormat atau rasa takut. PeristiwA itu menjadikan kelas kami senyap. Din ke klinik.
                       Loceng tamat waktu rehat pun berbunyi, kami masuk ke kelas. Belum sempat kelas bermula Din bersama Mr Pilai sampai. Kepala Din berbalut. Din tidak mahu balik berehat di rumah. Katanya kalau dia balik bapanya akan belasah dia. Tentu dia dianggap nakal. Tentu bapanya akan kata tidak padan tempang, nakal juga kau ye Din. Sekali lagi hatiku tersentuh apabila Mr Pilai berkata "take it" kepada Mahmudin. Mr Pilai memberikan sehelai lagi sapu tangan kepada Din untuk mengelap darah yang ada di atas meja Din. Din menggeleng. Mr Pilai...akhirnya Mr Pilai yang mengelap darah itu. Aku cuma dapat memerhatikan dengan rasa simpati. Din dengan ikhlas mengucapkan terima kasih atas jasa Mr Pilai itu. Mr Pilai terus mendakapnya dengan sesalan dan kasih sayang. Kami terharu. Pilu. Dakapan mesra buat seketika. Aku tidak tahu apa dalam hati Mr Pilai, aku tidak tahu apa ada dalam hati Din. Hingga hari ini.
                      Hari ini Din bertugas di PETRONAS Terengganu dan pada tahun 2008 baru bertemu jodoh dengan seorang gadis berumur 25 tahun. Mr Pilai..."where are you sir?" sering aku bertanya pada diriku. Din tidak mengheret Mr Pilai ke mahkamah. Din tidak menuntut ganti rugi kecederaan. Din dan Mr Pilai membina keakraban dan kasih sayang. Keikhlasan dan kemaafan adalah yang terbaik untuk membina keharmonian. Aku hormati kau, Din. Aku hormati Mr Pilai juga. Aku sayangkan Mr Pilai kerana cara dan ketegasannya aku mampu menjadi guru. Tulisanku adalah hasil tunjuk ajarmu, Sir.
                      Aku tidak akan menjadi guru seperti itu...sir! where are you.
                      Din!...jangan lah kau berdendam. Maafkan guru-guru kita,  Din, kerna aku juga guru yang ada kalanya tercabar segala keikhlasan dan kesabaranku.
                      Terima kasih Cikgu.
                     

No comments:

Post a Comment