Indahnya mengenang dan terkenang yang kekadang membuat airmata berlinang. 2001 merupakan tahun ke-17 aku berkhidmat di SAMUS,KD. Kalau aku gadis, waktu inilah ramai teruna tergila-gila hingga sanggup melakukan apa-apa sahaja. Usia 17 tahun adalah usia cinta remaja, yang berjaya ketawa dan gagal derita. Tapi tidak mengapalah, mungkin yang gagal itu aku; yang mengalah itu aku. Kerna aku percaya dalam kegagalan itu Allah masih cintakan aku untuk terus berjuang.
Sebenarnya banyak rentetan cerita di dalam dadaku ini untukku tintakan di sini. Cuma aku sebak tidak pasti mahu mula di mana dan ke mana. Mungkinkah usia atau aku bimbang akan tertuduh sebagai pemfitnah kelaknya. Aku sangat bimbang. Ibuku selalu mengingatkan bahawa di dunia ini tidak ada orang 'jahat' tetapi ramai orang membuat 'silap', ingatan ibuku inilah yang sering aku jadikan pagar kesabaran.
Kesilapan besar yang ditunjukakn oleh (AR) pengetua SAMUSKD pada tahun 2001 adalah memusuhiku dengan menuduh aku sebagai musuh dalam selimut. Aku ialah penuntut 'universiti langit terbuka' waktu itu kurang memahami dan kurang ambil peduli. Aku beranggapan apa-apa yang dibincangkan dan diputuskan dalam mesyuarat adalah hitam putih dan menjadi sumber rujukan. Di SAMUSKD aku adalah idola rakan-rakan sekerjaku, aku bangga itu. Kebanggaan yang hanya aku seorang yang tahu, kebanggaan yang hanya mampu aku simpan sendiri tidak perlu mewar-warkan diri; cukup aku tahu siapa diriku ini. Namun, dalam tulunjuk lurus itu ada kelingking yang berkait. Di depanku indah semua di belakangku...biarlah malaikat pencatat kebaikan dan keburukan yang menulisnya. Aku tahu mereka, aku sayang mereka dan aku rindukan mereka, tetapi kenapa mereka buat begitu padaku. Tidak sayangkah mereka kepadaku? hanya kerana aku mengetahui banyak rahsia dan kecurangan dalam tugas kawan-kawanku. Aku dimusuhi.
Dalam perkhidmatanku di SAMUSKD, aku tidak terfikir pun 'Ops Cantas' 'Ops Penggal' atau apa-apa 'Ops' pun. Itulah kebodohanku barangkali. Mereka yang hadir terkemudian mencantasku, memenggalku, mencincangku bagai Mona Fendy. Kebaikanku, keberanianku, keyakinanku dalam setiap hujah dalam mesyuarat digemari dan disokong...tetapi sokong membawa rebah. Aku hanya melepaskan anjing tersepit dan akhirnya menjadi kambing HITAM (AR). Kawanku di SAM, Sg Bertik pernah berpesan 'berhati-hati ye kak Mus, jangan jadi Kambing Hitam macam aku (Aishah Kamiso) apabila AR menjadi pengetua nanti'. Pesannya lagi, 'aku kenal kak Mus dan kak Mus kenal aku kan!'. Aku tahu maksud kawanku itu. Aku faham maksud kawanku itu. Semoga Aishah Kamiso beroleh sejahtera di SRA, kini. Kambing Hitam itu masih sihat bahagia.
Bulan Julai 2001, ramai rakan sejawatku di SAMUSKD telah mendapat berita angin bahawa salah seorang guru akan dipindahkan ke tempat lain tetapi tidak dapat menduga siapa atau sengaja berahsia. Aku yang langsung tidak menduga juga turut berteka teki, siapa, siapa dan siapa. Ogos berlalu dengan rahsia, September begitu juga. Oktorber 2001 bukan rahsia lagi. Namamu MUSLIMAH sangat mulia meniti bibir setiap yang ada dengan penuh tidak percaya."Kak Mus minta pindah ye", "kenapa nak pindah?". Aku terkejut, tersentak, terbisu, terkedu...tidak mampu menjawab tetapi terpaksa menjawab. " Akak tak minta pindah, percayalah tapi kalau dipindahkan akak akur laa sebagai penjawat awam". "Tak kak...saya dah baca surat dari JAIS...akak minta pindah".
"Minta pindah? demi ALLAH akak tak tulis surat itu..."aku sebak dan terkedu untuk sekian kali. Siapa gerangan si budiman yang menulis surat itu, siapa yang meniru tandatanganku itu. Surat jawapan daripada JAIS...berbunyi 'sukacita dimaklumkan permohonan puan untuk berpindah telah diluluskan...bla...bla...bla....'. Itu cerita daripada sumber boleh percaya.Tetapi aku tidak membaca...surat sulit dalam fail surat itu terselit. Aku tidak percaya dan tidak mahu percaya. Aku tidak juga mencari surat itu untuk membaca. Biar masa menentukannya.
Tragedi Oktober bermula...sedih, pilu, sendu bermain di bilik guru kerna aku sering menyanyikan lagu 'Salam Akhir' nyanyian Dato' Sudirman Hj Arsad dengan bait-bait yang sungguh indah.
" Salam akhir, salam yang teristimewa..."
"Salam akhir, salam yang teristimewa..."
Aku tidak tahu siapa terasa, siapa sengsara, aku tidak sengaja sekadar mengubat duka. Namun duka tetap lara. Mesyuarat akhir guru dan jamuan akhir tahun yang diadakan di Pantai Morib telah meminggirkan aku, telah menyingkirkan aku, telah menggugurkan namaku. Semua kakitangan SAMUSKD dijemput hadir kecuali aku. Aku tidak dijemput sama membincangkan takwim 2002. Nak tahu kenapa...
Walau pun aku belum dapat surat rasmi berpindah dipindahkan tetapi AR dan konco-konconya sudah BENCI melihatku, TIDAK mahu menulis namaku, Enggan menyebut namaku. Aku tidak tahu kenapa. Aku kambing Hitam. Daripada sumber-sumber dipercayai 'surat jawapan pindahku' itu telah dibawa semula ke JAIS SA lantaran rakan-rakanku berpakat tidak puas hati kerana bukan aku yang mohon pindah.
Memang malang orang bernama MUSLIMAH, 2002 sekolah dibuka semula. Aku Kambing Hitam yang bodoh dan hodoh datang bertugas di SAMUSKD seperti biasa, awal tahun yang meriah dengan azam baru, kesungguhan baru tetapi menjadi haru. Kawan-kawan yang simpati denganku bertanya "kenapa akak datang ke sini?" Aku dengan selamba menjawab tanpa curiga...'tentulah ke sini, tak ada surat arahan pindah, kan Alhamdulilah tu". Mereka termangu-mangu. Aku pun naik ke pejabat untuk 'punch kad'.
Alangkah terkejutnya aku, namaku memang tidak ada...rupa-rupanya semasa mesyuarat guru pertama 2002 yang diadakan di Morib juga, namaku, jadualku dan tugasan untukku juga sudah tidak ada di SAMUSKD. Jadi...kalau anda, anda hendak ke mana, di situ tidak, pindah pun tidak.
Beberapa rakan baikku menangis dengan tidak sengaja, tapi aku ketawa. kataku "tidak mengapa, itu salah kerja, tidak sengaja, nanti Yahya tulis laa nama akak, bukan susah kan Ya!". Mereka semakin menangis. Yang anehnya Jadual Waktu dan tugasan dalam takwim untuk Miss X ada, jadual dan tugasan untuk MUSLIMAH tidak ada. Di mana dia di hati AR. Aku jadi binggung namun akur, aku gunakan tugasan dan jadual Miss X dan menjadi guru ganti kepada sesiapa sahaja yang tidak hadir kerana MC ke atau apa-apa sahaja. Kalau anda...apa yang anda rasa?. Itulah yang aku rasakan. Perasaan ini tidak dapat diucapkan dengan kata-kata, tiada bahasa indah dapat meleraikan kehancuran hatiku. Hakikatnya nyata. Tetapi aku mahu ke mana...teruskan jua perjuangan ini, Miss X itulah saya. Sepanjang menjadi Miss X, aku tidak di'orang'kan oleh pentadbir dan beberapa orang tertentu, aku datang mereka tak tanya dan tak tegur. Kalau aku tidak hadir tentu aku tambah bersalah di mata mereka...mencari kesalahan sangat mudah sekali untuk memburukkan keadaan, kawan-kawan rapatku berada dalam seba salah, aku buat tak endah. Setiap hari adalah hari kerja buatku hingga ...
Empat bulan lima belas hari aku menjadi Miss X di SAMUSKD, surat arahan berpindah aku terima dengan kata-kata yang lebih manis mengikut terma perpindahan sebenar. Aku akur. Syukur, sekurang-kurangnya MUSLIMAH telah dapat namanya semula. Kawan-kawanku memujukku; 'biarlah Mus jika di sini orang dah tak sayang di tempat lain tentu akan ramai yang sayang'. Aku cuma menundukkan kepala, derita dalam tawa. Akanku tinggalkan segala kenangan itu bagi membina kerjayaku. Selamat Tinggal, salam akhir buat teman. Lagu kenangan.
15 Mei 2001, aku terHALAU dari SAMUSKD dengan iringan airmata pelajar-pelajarku dari tktan 5Fairus, Nilam dan Delima, aku tinggalkan subjek BM dan Sejarah dalam kenangan jadual Miss X. Tiada majlis indah, tiada taburan mawar dan kasturi. Tetapi kawan-kawan baikku yang menyayangiku telah membuat kejutan pada hari itu. Jam 1.30 tengahari ada pengumuman "Semua pelajar diminta berhimpun di kantin". Aku tidak mengendahkan pengumuman itu kerna aku bukan sebahagian daripada SAMUSKD.
Tiba-tiba...Oziah Musa dan Fauziah Hanim datang menghampiriku..."sebelum balik singgah di kantin ye Mus", aku kata OK... tanpa ada sedih dan curiga. Alangkah terkejutnya aku...rupa-rupanya Ozi, Hanim, Fizah dan Anisah telah merancang majlis tergempar bagi meraikan hari TERakhirku. Rupa-rupanya...mereka masih sayangkan aku...mereka tidak mahu kehilanganku, pelbagai hadiah mereka hulurkan, hanya terima kasih yang dapat kuucapkan. Entah mengapa...airmataku sudah tidak mampu mengalir lagi, Allah telah beriku kekuatan. Kekuatanku ini menyebabkan para pelajar dan kawan-kawanku berairmata dalam lambaian. Tuhan juga telah tunjukkan kepadaku siapa di pihakku waktu itu kerana aku melihat ada 6 orang yang tidak ada di kantin tetapi ada di sekolah. Mereka tidak mengucapkan salam akhir buatku. Aku tidak menuduh, cuma keangkuhan yang bodoh.
Itulah aku, mungkinkah malang bernama Muslimah atau kerana kedengkian mengatasi ketakutan dan kebimbangan mereka yang curang dalam tugas dan perkhidmatan. Keberanianku berkata dan berhujah dalam menyuarat lantaran berani kerana benar, takut kerana salah maka aku menjadi kambing hitam. Kebolehanku,kemahiranku dan kelebihanku menjadikan aku kambing hitam. Aku akur jika itu adalah kepuasan mereka.
Aku selalu mengambil iktibar daripada 'meeting' orang barat, apabila mereka berkata 'I hate the ideas' dalam mesyuarat, itu hanya dalam mesyuarat. Di luar 'meeting' 'you still my friend'. Tetapi tidak di SAMUSKD. 'Hate' means hate. Kebencian mengatasi segala-galanya tetapi aku tidak tahu mengapa mereka membenciku. Mungkin jika aku terus di situ sukar untuk mereka menjadi terkenal atau takut rahsia terbongkar.
16 Mei 2002, aku mendaftar di SAMTTAR jam 9.30am...waktu itu sekolah ini sedang mengadakan majlis sambutan hari guru...aku, aku tidak mendapat ucapan itu di SAMTTAR, aku tidak mendapat ucapan itu dari SAMUSKD, siapa aku? Selepas mendaftar di pejabat, aku gundah gulana, mahu ke mana...aku disapa tukang kebun pada waktu itu..."Mak cik nak jumpa siapa?'' Aku tidak menjawab pertanyaan itu. Aku tidak disapa oleh pelajar-pelajar di situ waktu itu. Tidak ada siapa pun menyapaku...semua sedang gembira.
Aku akan ceritakan detik-detik selanjutnya apabila tiba waktunya. Coretan seorang derita. Di sinikah sayang itu, di sinikah cinta itu, di sinikah penamat keriarku...masa jadi penentu.Ya Allah lindungi aku daripada menjadi pemfitnah...tunjuki jalan yang lurus buatku. Semoga coretan ini menjadi teladan dan sempadan kiranya boleh berpadan.
No comments:
Post a Comment