Semilir hari itu syahdu
meninggalkanmu yatim piatu
Di sini bermula ketabahan
Di sini bermula keyakinan
Ketabahan ini detik keagunganmu.
Abdul Mutalib nenda tercinta
dengan kudrat yang ada
mendidik akan urusniaga
Abu Talib, berjasa pada baginda
untuk mengenal manusia
untuk menilai kemanusiaan
meniti kehidupan dan cabaran.
Jejak-jejak saudagar
Bukhaira melihat kerasulan
kepintaran bersulan ketaatan
dipamer keikhlasan dalam kelembutan.
Menggamit rindu Saidatina Khadijah
jatuh cintanya kepalang raga
walau usia kian berembah
jodohmu tertulis sudah.
Keadilan dalam ketegasan
menghakimi Hajar Aswad
atas hamparan berpenjuru empat
sepakat membawa berkat.
Gua Hirak saksi sejarah
"Aku tidak bisa membaca"
"ma ana biqari"
"Aku tidak bisa membaca"
Muhammad al-ummi
bukti Al-Quran nan suci
bermulanya intelektual manusia
bermulalah hijrah baginda
bertakwa berdakwah tiap detik dan masa.
Kecintaannya hanya pada yang esa
kerinduannya hanya pada Illahi Rabbih
Ya Rahman, Ya Rahim
Mari kita ke Syurga Firdausi
anugerah buat umatku setia di sisi.
Kelembutanmu,
Ya habibi, Ya Muhammad
melentur keangkuhan Umar dan Hamzah
melebur hati si kafir buta
pabila dia bertanya
"Kenapa beza suapan kurasa?"
"Ke mana si budiman kita"
kesyahduan meruntun jiwa
kewafatan baginda perkhabaran yang menyiksa.
Keperibadianmu mengangkat darjat insani
pabila Bilal Bin Rabah dapat dibeli
lantaran mengesakan Illahi
diseksa diri tidak terperi
hamba abdi berdarjat tinggi
suaranya menambat hati.
Solatku, solatmu
buah tangan Israk Mikraj
nilai mulia sifat malu baginda
permintaan buat umatnya
melayari zaman pancaroba berbisa
as-siddiq bermula kebenaran
horizon ketenangan abadi
kerna nur ad-din perjuanganmu
semoga berbahagia kita
semoga berbahagia jua...
Abdullah dan Aminah
berputera Muhammad Rasullullah.
Bisakah kita bersua dengannya?
Terkarya pada 14 Febuari 2012 jam 6.30pm, ketika menyaksikan mentari senja mula melabuhkan tirai malam untuk menamatkan perjuangan siang selama 12 jam, sekali lagi pusingan kehidupan. Karya ini untuk persembahan sempena majlis Malam Apresiasi Rasullullah di Laman Bestari, Morib, pada 18 Febuari 2012. Hasil pembacaan Ensaiklopedia Islam untuk Pensejarahan Barat dan Timur SA2011/2012 USM, ilhamku mengambang menyentuh perasaan buat junjungan. AMIN.