Madrasah itu
wadah bersaksi kasih
kasih menagih kasih
butir-butir permata putih
menggaul duka lara
menyuntik mesra.
Bukit itu
bersaksi pada bumi
paksiku tinggal mimpi
esok lusa hilang menyepi
kumohon semua ke tepi
kerna kekuatanku
menunggu hari
jeritanku tiada siapa yang pasti.
Permata-permata putih nan berseri
memupuk rindu sama sendiri
menguntum sayang di hati sepi
menyulam kasih hujung waktu berganti
menenun penantian pasti
menyepuh kasih-kasih abadi
ayah ibu tiada di sisi
belaian mereka tercari-cari.
Aku ingin ketemu, ibu
aku ingin ketemu, ayah
aku ingin ketemu-Mu
Tuhan yang mengasihiku
(Ya Rahman,Ya Rahim)
kalau itu yang harus aku ketemu.
Petang ceria itu
keganasan batu menggulung rindu
kebengisan kayu membenam sayang
kezaliman besi melenyapkan riang
Permata-permata putih
letih merintih tertindih
sayu, syahdu dan bersendu
warga Hulu langat hilang semangat
aku kehilangan kudrat.
Permata pendoa
permata ceria
pertemuan itu telah bermula
pertemuan itu berbuah bahagia
kasih cinta di jambangan rindu
bermahligai syahdu
satu persatu.
Mungkinkah hilang deritamu?
Karya ini telah tersiar dalam Berita Harian 25 Jun 2011, Khamis, di Ruangan Varsiti. Terhasil daripada cetusan rasa melihat bencana tanah runtuh di Hulu Langat yang telah mengorbankan nyawa kanak-kanak yang tidak berdosa. Kealpaan membawa bencana. Semoga mereka dalam dakapan kasih sebenar daripada Illahi Rabbi.Sayangku kulambaikan dari ruang yang jauh.
No comments:
Post a Comment