Pages

Wednesday, 28 September 2011

Seloka Hati

Di mana hujungnya hati
Jika tiada rasa yang bererti
kerana kurang berhati-hati.

Di mana hujungnya hati
memfitnah tidak perlu bukti
dijaja bersilang ganti

Di mana hujungnya hati
Jika kata dusta bersifat sakti
yang perihatin terkeji, yang cela dipuji.

Di mana hujungnya hati
Jika persahabatan tidak bererti
kerna kasihnya disatay melidi.

Di mana hujungnya hat
pabila hinaan mengatasi simpati
kerna kuasa milik peribadi.

Di mana hujungnya hati
Jika tiada pilu melihat mati
lantaran hilang cinta sejati.

Di mana hujungnya hati
pabila batu nesan menjadi saksi
perhitungan jitu di tangan Illahi.

Nukilan ini terhasil waktu aku menjadi pengawas peperiksaan akhir tahun 2010, saat itu pergolakan dalam sekolah sedang berlaku antara watak-watak utama denganku kerana beberapa laporan palsu yang lebih didengari daripada penerangan sumber pertama. Aku terkedu waktu itu kerana kukira usia perkenalan boleh dijadikan kayu ukur kepercayaan...namun jauh dari persimpangan persefahaman. Ya Tuhan, aku percaya atas kekuatanmu yang menganugerahi aku kekuatan.

Thursday, 22 September 2011

Terbuang

Dalam beg itu...buku
Dalam beg itu...baju
Dalam beg itu...aku terharu.
Badannya membiru tidak berbaju
 Pasti tidak sempat mengenal buku
  Pasti tidak sempat membaca buku.

Tubuhnya biru
kerna tidak didakap ibu
Tidak sempat menyusu
Terlerai ikatan jiwa
Tergugur pepatah keramat
Syurga di telapak kaki ibu.

Biru dan kaku
Kerna perlakuan si ibu
ibu yang layu pujukan rindu
Retorik cinta keliru
meninggalkan kau terburu di penjuru
kerna dikejar keaiban dan malu.

Kekakuanmu
Kedinginanmu
tidakkah merentap ehsanmu, ibu
tidakkah mencuit sayangmu, ibu
tidakkah meragut rindumu, ibu
tidakkah!
tidakkah!
tidakkah!
sakit menjadi ibu
indah dipanggil ibu.
Tapi...siapa ibuku?


Karya dalam muzium hati, apabila aku terbaca berita-berita kejam, berita-berita tidak berikhsan tentang anak dan bayi yang dibuang sesuka hati sesuka perasaan. Karya ini tercatat pada 10 Januari 2011. Iktibar apa yang boleh diambil, kiranya wanita yang bernaluri halus dan suci hati sudah kehilangan jati diri sebagai wanita. Rosak wanita kerana diri sendiri, Lelaki yang sewajarnya menjadi pelindung wanita dan zuriatnya...hanya melayan keindahan mimpi tanpa menilai diri. Siapa aku sebagai lelaki?

Wednesday, 14 September 2011

Aku Ingin Ketemu (Tragedi Tanah runtuh di Hulu Langat)

Madrasah itu
wadah bersaksi kasih
kasih menagih kasih
butir-butir permata putih
menggaul duka lara
menyuntik mesra.

Bukit itu
bersaksi pada bumi
paksiku tinggal mimpi
esok lusa hilang menyepi
kumohon semua ke tepi
kerna kekuatanku
menunggu hari
jeritanku tiada siapa yang pasti.

Permata-permata putih nan berseri
memupuk rindu sama sendiri
menguntum sayang di hati sepi
menyulam kasih hujung waktu berganti
menenun penantian pasti
menyepuh kasih-kasih abadi
ayah ibu tiada di sisi
belaian mereka tercari-cari.

Aku ingin ketemu, ibu
aku ingin ketemu, ayah
aku ingin ketemu-Mu
Tuhan yang mengasihiku
(Ya Rahman,Ya Rahim)
kalau itu yang harus aku ketemu.

Petang ceria itu
keganasan batu menggulung rindu
kebengisan kayu membenam sayang
kezaliman besi melenyapkan riang
Permata-permata putih
letih merintih tertindih
sayu, syahdu dan bersendu
warga Hulu langat hilang semangat
aku kehilangan kudrat.

Permata pendoa
permata ceria
pertemuan itu telah bermula
pertemuan itu berbuah bahagia
kasih cinta di jambangan rindu
bermahligai syahdu
satu persatu.
Mungkinkah hilang deritamu?

Karya ini telah tersiar dalam Berita Harian 25 Jun 2011, Khamis, di Ruangan Varsiti. Terhasil daripada cetusan rasa melihat bencana tanah runtuh di Hulu Langat yang telah mengorbankan nyawa kanak-kanak yang tidak berdosa. Kealpaan membawa bencana. Semoga mereka dalam dakapan kasih sebenar daripada Illahi Rabbi.Sayangku kulambaikan dari ruang yang jauh.



Kebenaran di hujung pena

Kebenaran di hujung pena
tintanya nyata
melukis cerita fakta
dalam nota dan warkah
'Sejarah Melayu' bermula
kegemilangan bangsa.

Kebenaran dihujung pena
tintanya tidak berdusta
Portugis  Belanda
meninggalkan tanda di Melaka
SHTI  Jepun dan Inggeris
mengajar kita kembali berkuasa
mengangkat darjat bangsa.

Kebenaran di hujung pena
bukan perjuangan bersenjata
seperti Bintang Tiga dan Mat Indera
manusia durjana
tidak perlu diberi nama
perjuangan mereka sia-sia
bernoktah tanpa jasa
kenapa ada yang memberi mahkota
menggugah sejarah yang tersusun indah.

Kebenaran dihujung pena
bukan permainan kata
bukan juga teki teka
 hanya kerna ingin berkuasa
membelit lidah membelit minda
huru hara rasa bangsa
huru haara rasa cinta negara
warga kembali derita
sengsaranya siapa yang rasa.

Kebenaran dihujung pena
jangan diajar menderhaka
biar Hang jebat dengan langkahnya
biar Leftenan Adnan dengan perjuangannya
biar tengku Abdul Rahman dengan perjanjiannya
tegar berdaulat bangsa
di atas jemala warga
kesaktiannya bersaksi
kebenarannya berinti
kenyataannya tidak bisa bertukar ganti
generasi demi generasi
sejarah perjuangan bermaruah
tidak semestinya berdarah
sejarah perjuangan bermaruah
jangan biarkan bernanah

Sejarawan, sasterawan deritawan
apa bezanya kalian
dalam melakar sejarah watan
tika menghalau penjarah.

tepu dan buntukah akalmu
mengadun semula rasa merah
berpusarakan sejarah
meruntuhkan kemegahan bangsa
atas kesilapan kata.
Bisakah memawari semula
calar-calar berbisa.

Aku terpanggil melakar puisi ini setelah menonton cerita "Bukit Kepong" yang hangat menjadi cerita bangsa pada 11 September 2011.

Tuesday, 13 September 2011

Somalia

Kekeringan bumimu
mengerintingkan nadi-nadi diri
meluruskan tulang-tulang insan
kehausan dan kebuluran
lantaran berlidah pedang
kuasa antara berkuasa.

Kekurangan bumimu
mengundang kami datang
menjentik keinsanan sejagat
mengajak kami memandang
tangisan kebuluran
tangisan kesakitan
tangisan kematian akal budi dan peradaban.

Kegersangan bumimu
menyemai kemanusiaan
menggamit melambai bantuan
terhulurlah tangan-tangan seberang
hitam putih persaudaraan
tertaburlah jajaran sumbangan
bertandang bersulam cabaran
merah mewarnai gersang.

Kerekahan bumimu
memisahkan kasih sayang
Noramfaizul dan kawan-kawan
famili menganyam kesabaran
berjauhan pandangan
berjauhan sentuhan
kerna keinsanan menuntut pengorbanan
mengheret tangisan malam.

Kesabaran Somalia
menguji kesabaran waris tersayang
kenalan ditinggalkan
pejuang tidak didendang
Noramfaizul dalam ketenangan
wira kemanusiaan.

Kering gersang dan rekahan Somalia
melimpahkan kebanjiran Serdang
airmata delima
airmata berlian
diuntai bagai mutiara hantaran
ros jasmin dan kenanga sedulang haruman pusara
mengiringi Noramfaizul dalam kenangan.
Bersisakah semangatnya di Somalia?

Puisi ini terkarya pada 11 September 2011 setelah sekian ketika aku melihat slot-slot yang ditayangkan di kaca tv, hatiku amat tersentuh melihat penderitan warga Somalia sedangkan kita di bumi bertuah Malaysia ini menjadi mangsa  kekenyangan, terlebih vitamin hingga terlali kelaparan yang menuntut persaudaraan sebenar. Semangat PUTERA 1 Malaysia adalah semangat wira pada zaman moden ini. Aku belum pasti bisa ke sana. Hanya doaku mengiringi kalian dalam perjuangan kemanusiaan. Amin.