Rabu, 22 Jun 2011 adalah hari terakhir '2girls' bersamaku. Sejak aku pulang dari sekolah, 2girls bersama black dan stokin asyik mengekoriku. Aku tahu 'dia' lapar, kerna lebih 9 jam aku tidak di rumah untuk melayaninya. Hari ini, aku terlalu letih semalaman tidak melelapkan mata kerana 'tugas khas' yang istimewa darjahnya membawa aku pada lena petang yang mengalpakan aku pada 2girls. Aku sedar 2girls seolah-olah memahami aku juga. 'dia' turut lena bersama putera puterinya di sampingku menunggu aku sedar. Malangnya semasa aku bersiram 2girls telah keluar meninggalkan aku. Dalam aku cemas kesuntukan waktu untuk sampai ke Seri Jugra jam 6pm, aku tidak teringat untuk menghidangkan ikan bilis tumbuk kegemaran 2girls. Aku terus sahaja pergi tanpa rasa tanggung jawab dan amanah. Jam 8.30pm seperti hari-hari yang berlalu 2girls setia menungguku di bahu jalan depan teratakku. Aku gembira melihat 2girls sedang bermesra bersama black dan stokin. 'dia' sedang menyusukan anak-anaknya, maka itu 'dia' tidak mengejar keretaku seperti selalu. Anakku Dilla sangat sayangkan 2girls, black dan stokin. Dia yang seharian tidak melihat ketiga-tiganya melonjak riang dalam kereta. Anakku berkata "ma 2girls sayangkan anak-anaknya kan ma". Aku menjawab dengan anggukkan sahaja. Setelah aku mempakir keretaku, aku bergerak ke arah 2girls, dalam hatiku... kenapa hari ni 'dia' tidak mengejarku, tidak menghampiriku. Aku membujuk diri, mungkin 'dia' sedang asyik menyusukan anak-anaknya. Sekelip mataku tidak memandangnya, leka meletak beg dan barangan lain, tiba-tiba suara Dilla merentap emosiku. "ma kenapa 2girls melompat-lompat?" Aku menjawab 'dia' kejar sesuatu agaknya" Dilla tidak puas hati lalu merapati 2girls yang jarak antaraku lebih kurang 5 meter.
"Ma....2girls dah mati" Dilla meraung dan meraung, mengheret aku ke senjakala duka. aku juga menangis, anakku amat sedih, begitu juga aku. Kesedihanku tidak dapat kuhuraikan dengan seribu kata, bagai kaca terhempas ke batu, kerana aku tahu 2girls mati dalam kelaparan apatah lagi 'dia' sedang menyusukan anak. Black dan stokin kehilangan ibu. Salah akukah? tidak. Rupa-rupanya suamiku yang melanggar 2girls, kata suamiku dia tidak nampak pun 2girls di situ. Hari ini adalah senja duka buatku dan Dilla. Adib dan Akmal turut bersedih juga. 2girls adalah kucing jenis Bermen yang telah dibuang oleh seseorang di hadapan rumahku 3 tahun yang lalu setelah aku kehilangan Siames. 'dia' seolah-olah pengganti ketika itu. 2girls datang bersama ibunya, waktu 'dia' datang belum celek matanya. Umurnya 8 bulan bersamaku, ibu 2girls menghilangkan diri. Aku namai 'dia' 2girls sebab 'dia' datang bertandang dan tak mahu pulang bersama si ibu. Kedua-duanya adalah betina. Kematiannya mengheret aku dalam delima dosa kerana alpa untuk menunai janji memberi makan setiap kali aku pulang dari kerja. Ampunkan aku tuhan atas kelalaianku ini. Aku tidak berniat menyiksa mahlukmu. Aku tidak berniat mengabaikannya. Tetapi sebenarnya aku memang berniat 'membuangmu 2girls' kerna aku tidak mahu kau terus membiak, namun tuhan menyayangimu...esok tidak ada lagi 2girls yang akan menemaniku makan bila waktu petang, esok tidak akan ada lagi 2girls yang melompat di ribaku untuk mengoles manja, esok tidak akan ada lagi 2girls yang mengejar keretaku, yang mengejar aku apabila plastik jaja kurenyukbunyikan. Esok hanya buatku mengenang batas-bats kehidupan. 2girls...aku sayangkanmu...apa dayaku. Tuhan menjemputmu dan 'kau' tinggalkanku black dan stokin. Titipanmu ini akan menjadikanku semakin rindu padamu. Pasti aku akan merindui kebijaksanaanmu menangkap lalat terbang. 2girls bersemadilah kau seperti juga Oo, budin, jepun, dan ucai. Selamat bersemadi 2girls. Senjakala kenangan mengajar aku erti kasih sayang dan kesanggupan.